Di dalam blog ini saya akan berkongsi koleksi ART saya dan apa-apa sahaja mengenai HOBBY saya dengan anda semua yang mempunyai minat yang sama seperti saya....sila klik link di LABELS untuk melihat lebih banyak koleksi ART & HOBBY saya...join lah blog ini dan kita sama-sama berkongsi mengenai ART & HOBBY. :-)

Saturday, January 09, 2010

Cerpen - Neraka Mana Yang Kau Pilih?

Neraka Mana Yang Kau Pilih?

Semua pelajar asrama berasak-asak untuk melihat poster yang baru ditampal di papan kenyataan. Tidak seperti kebiasaan, poster yang ditampal agak ‘menarik’. Poster itu memuatkan wajah karikator pengetua sekolah itu yang dilukis agak memperli wajah pengetua itu yang bermata juling. Apa yang lebih menarik pada poster itu ialah tertera tulisan yang agak pedas: ‘PENGETUA JULING SEORANG DIKTATOR’.

“ Ha..ha..ha..aku setuju. Aku setuju. Memang betul pengetua kita seorang diktator. Ha…ha..ha…Pak Man diktator. Pak Man gila kuasa!”

“ Syuuuu….cakaplah perlahan sikit. Nanti dengar dek Pak Man nanti, mampus kita,” Andikala mencuit pundak Fasulatin yang bercakap dengan nada yang agak kuat. Dia takut kalau-kalau pengetua dengar perbualan mereka.

“ Biarlah dia dengar. Aku peduli apa?” Fasulati menjuihkan bibirnya ke arah Andikala.

“ Ah…ikut suka hati kaulah. Kalau terjadi apa-apa pada kau aku tak nak terlibat.”

Tetiba semua pelajar asrama bertempiaran lari menuju ke arah bilik prep . Pengetua yang diiringi penyelia asrama datang menuju ke arah papan kenyataan. Wajahnya bertukar merah. Dia lantas menuju pada poster yang ditampal itu. Poster itu ditariknya kuat lalu dikoyaknya menjadi cebis-cebisan. Sambil mengoyak poster itu mulut pengetua tidak habis-habis menawak seperti memaki sesuatu. Marah sungguh dia.

“ Kurang ajar. Kerja siapa ni. Kalau aku tahu siaplah. Pasti tak lama dia di sini!” bentak pengetua. Marahnya terpaksa diluahkan kepada penyelia yang berada di sisinya. Selalunya begitulah, penyelia hanya terdiam apabila pengetua marah. Dia tidak boleh berkata apa-apa, nanti dipecat. Dulu pernah penyelia lama sebelumnya membangkang kata-katanya, esoknya sampai notis 24 jam keluar dari asrama itu. Maka Pak Cik Don memilih untuk mengikut sahaja apa-apa yang diputuskan oleh pengetua itu walaupun ternyata apa yang diputuskan adalah salah. Bagi Pak Cik Don mengampu itu lebih selamat daripada membangkang.

“ Eh… Rumput, kau tahu tak Cikgu Dang Wangi ‘gelapkan’ duit tabung sekolah? Dia kan bendahari sekolah ni. Semalam Cikgu Syamsinar dan cikgu-cikgu yang lain buat semakan fail bendahari kerana Cikgu Syamsinar syak sesuatu pada Cikgu Dang Wangi,” bertanya Kerusi Batu Putih pada Rumput Padang.

“ Betulkah apa yang kau cakapkan ni? Tak sangka aku. Aku lihat Cikgu Dang Wangi tu baik saja selama ni. Tapi bagaimana Cikgu Syamsinar boleh syak yang Cikgu Dang Wangi ‘gelapkan’ duit tabung sekolah?”

“ Sebenarnya sebulan yang lepas Cikgu Syamsuri nak buat lawatan ke rumah anak-anak yatim untuk Persatuan Kaunseling dan Bimbingan yang dipengerusikannya. Tetapi Cikgu Dang Wangi memberi alasan bahawa duit sekolah tidak cukup untuk memberi sponsor kepada persatuan itu. Jadi sebab itulah Cikgu Syamsinar syak pada Cikgu Dang Wangi.

Syak Cikgu Syamsinar bertambah mendalam apabila mendapati cikgu-cikgu lain yang ingin adakan lawatan juga tergendala kerana tidak mendapat sponsor dari pihak sekolah. Sebelum ini sekolah ni pernah adakan Hari Kantin yang berjaya mengutip wang berjumlah RM3,000 lebih dan tidak mungkin Cikgu Dang Wangi mengatakan duit tabung sekolah tidak cukup untuk memberi sponsor,” Pokok Ketapang pula menjelaskan perkara itu pada Rumput Padang.

“ Jadi bagaimana Cikgu Dang Wangi sekarang? Kena buang sekolah?” Pokok Ru pula bertanya yang sedari tadi asyik mendengar sahaja perbualan rakan-rakannya.

“ Tak.”

“ Kenapa pula? Bukankah pengetua sekolah ni yang dikatakan diktator itu suka memecat orang bawahannya?”

“ Cikgu Dang Wangi tu ‘orang pengetua’ lah. Pengetua kena ‘jaga’ Cikgu Dang Wangi agar tembelangnya selama ni tak pecah. Pihak sekolah dikatakan membuat perjanjian dengan Cikgu Dang Wangi.”

“ Perjanjian apa pula tu?”

“ Cikgu Dang Wangi dibenarkan mengajar di sekolah ni tetapi hendaklah menjelaskan segala wang yang pernah di’gelapkan’ kannya dulu. Kalau Cikgu Dang Wangi dibuang sekolah, perkara ini akan menjadi kes polis. Jika perkara ni jadi kes polis, teruklah pengetua nak menjawab dengan Pengarah Pendidikan nanti.”

“ Oo.. begitu. Patutlah aku tengok selama ni Cikgu Dang Wangi hidup mewah. Gajinya tak padan dengan kemewahan yang dia ada selama ni.”

Loceng waktu rehat sedang galak meraung. Semua pelajar bergegas keluar dari kelas. Ada yang berehat di kantin, ada yang ambil kesempatan pergi ke padang dan ada juga mempunyai agenda tersendiri. Qiutozaly dan sekutu-sekutunya bergerak ke tandas di tingkat atas. Tandas itu jarang digunakan kerana hanya ada satu kelas sahaja yang berada di tingkat atas itu. Tambahan pula waktu ini adalah waktu rehat, jadi tiada pelajar lain yang ‘mengunjungi’ tandas itu selain mereka.

Daun pintu tandas ditendang oleh Ekafaqqar untuk memberi peluang kepada ketua mereka iaitu Qiutozaly masuk ke dalam tandas dahulu. Diiringi empat orang lagi masuk ke dalam tandas itu. Keadaan cukup sesak kerana mereka berlima terpaksa berasak-asak di dalam tandas yang kecil itu. Seperti biasa, Husiniwata mengeluarkan beberapa batang rokok dari stokingnya. Pemetik api pula diletakkan di dalam stoking yang sebelah lagi. Tidak berapa lama kemudian berkepul-kepul asap kelabu merayap ke serata tandas itu.

“ Cis, berani dia buat hal di sini! Dia tak tahu lagi siapa aku!” bentak Fenydiloga selaku ketua pengawas di dalam sekolah itu.

Pintu utama tandas ditamparnya kuat menandakan kemarahannya. Dia serta pengawas-pengawas lain yang terdiri daripada Biro Disiplin, Biro Perhubungan dan Biro Sukan berada di belakangnya, lagak seperti bodyguard tanpa gaji. Pakaian mereka agak berbeza daripada pelajar-pelajar biasa, mereka berpakaian baju kemeja berwarna hijau lengan panjang berserta seluar biru kehitaman. Pelajar-pelajar biasa hanya memakai baju putih berserta seluar hijau. Dia segera meluru ke arah tandas yang berkepol-kepol asap nampak dari atas.

“ Berani kau hisap rokok di sini! Kurang ajar,” Fenydiloga mencekak kolar baju Qiutozaly lalu menghentak-hentak tubuhnya ke dinding. Marahnya membuak-buak ditambah sikap Qiutozaly yang seakan-akan mencabarnya.

Qiutozaly memandang ke arah Biro Disiplin, Zaidygarra dan seperti mengisyaratkan sesuatu kepadanya.

“ Aku rasa aku boleh handle problem ni. Kau pergi dulu, nanti aku bincangkan dengan mereka,” Zaidygarra membisik ke telinga Fenydiloga.

Fenydiloga dan pengawas-pengawas yang lain keluar dari tandas. Di dalam tandas hanya tinggal Zaidygarra, Qiutozaly serta kekawannya.

“ Hei, aku dah cakap jangan bawa ketua kau ke sini. Berani kau nak lawan aku ya!” Qiutozaly menghalakan buku limanya ke arah Zaidygarra setelah memastikan ketua pengawas itu sudah beredar.

“ Dia yang tahu sendiri. Aku terpaksa ikut dia ke sini kerana aku Biro Disiplin.”

“ Biro Disiplin konon. Hei, aku nak kau settlekan perkara ni. Aku tak nak kes ni dibesar-besarkan. Kalau guru disiplin tahu, rahsia kau akan pecah.”

“ Tolonglah Zaly, tolonglah. Jangan beritahu rahsia aku kepada orang lain. Malu aku.”

“ Tahu pun malu. Jadi kalau nak rahsia kau tersimpan rapi, kau mesti buat apa yang sepatutnya kau buat,” kata-kata terakhirnya disulam dengan senyuman sinis. Qiutozaly berlalu selepas menolak kepala Zaidygarra yang diperlakukan seperti orang bodoh. Jawatan Biro Disiplin yang dipegangnya hanya tersemat pada pakaian seragamnya sahaja. Tak lebih daripada itu. Dayus.

Tiga bulan lepas, Zaidygarra ‘ditangkap’ oleh Qiutozaly dan sekutu-sekutunya di dalam dorm sedang ‘berasmara’ dengan ‘teman lelakinya’. Pada waktu itu pelajar asrama sepatutnya diwajibkan berada di bilik prep. Seperti kebiasaannya Qiutozaly bersama sekutu-sekutunya suka menentang arus. Apa yang disuruh warden asrama, itu yang tidak mahu diiikutnya. Tetapi apa yang dilarang warden asrama, itu pula yang hendak dilakukannya. Mereka suka ‘menyorok’ daripada warden dan berada di dalam dorm untuk meneruskan agenda tidak berfaedah mereka.

Sedang berjalan-jalan dari dorm ke dorm, mereka terdengar bunyi yang agak pelik dari sebuah dorm. Bunyi orang sedang merengek kesakitan. Qiutozaly mengesyaki sesuatu dan masuk ke dalam bilik itu. Terkejut mereka apabila mendapati sepasang ‘kekasih’ sedang melakukan perkara di luar tabi’i. Qiutozaly yang melihat kejadian itu, telah mendapat satu ide yang menarik. Pada saat itu mereka membuat hitam putih dan Zaidygarra menjadi ‘orang suruhan’ Qiutozaly sekiranya tidak mahu kejadian memalukan itu dihebohkan kepada orang lain.

“ Celaka, aku nak kau buat sesuatu untuk selesaikan perkara ni! Aku tak nak nama aku tercemar. Kau akan dapat bahagian kau nanti. Faham,” pengetua menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar daripada mulutnya.

“ Baiklah… baiklah,” itu sahaja yang dapat keluar daripada mulut Cikgu Fadliah. Dia tidak dapat berbuat apa-apa, nanti buruk padahnya.

Dua hari selepas itu heboh satu bilik guru mengatakan Cikgu Sa’adiah menyebabkan kehilangan tiga biji computer di makmal komputer yang lama. Khabar angin itu merebak dengan cepat sehingga ada juga pelajar yang mengetahui mengenai perkara ini. Cikgu Sa’adiah yang bertanggungjawab sebagai guru komputer dikatakan cuai sehingga komputer itu boleh hilang. Guru-guru yang lain tidak dapat mempercayainya kerana Cikgu Sa’adiah seorang yang jujur dan amanah.

Khabar angin yang berjaya disebarkan oleh Cikgu Fadliah itu melegakan hati pengetua. Dendamnya sudah terbalas. Ternyata sifatnya yang diktator itu digunakan untuk menindas kaum yang lemah. Baginya sesiapa yang berani menentangnya, maka tunggulah akibat buruk yang akan menimpa orang itu. dendam pengetua bermula apabila Cikgu Sa’adiah telah mendenda anaknya, Qiutozaly kerana anaknya tidak menyiapkan kerja yang Cikgu Sa’adiah telah berikan.

Cikgu Fadliah telah ditugaskan untuk menyebarkan fitnah itu untuk menjatuhkan Cikgu Sa’adiah. Dia mahu agar semua cikgu yang lain memulaunya. Tetapi pengetua ternyata silap, cikgu-cikgu yang lain lebih bijak daripadanya. Mereka dapat menghidu taktik kotor pengetua itu. mereka semua sudah masak dengan niat jahat pengetua itu yang sentiasa hendak menang dalam semua perkara.

“ Kejam. Diktator. Kuku besi.”

“ Apa yang kau cakapkan ni Pokok Ketapang? Siapa kejam? Siapa diktator? Siapa kuku besi?”

“ Pengetualah. Memang tak patut tindakan dia semalam. Dia dah melampau!”

“ Apa yang dia dah buat, sampai kau cakap macam ni.”

“ Semalam aku dengar, Ustaz Salleh dapat notis 24 jam untuk keluar dari asrama. Dia dipecat daripada jawatan ketua warden yang dipegangnya selama ini.”

“ Eh..betulkah kau cakap ni? Kenapa pula Ustaz Salleh kena pecat? Aku tengok dia tu baik. Walaupun ada sesetengah pelajar asrama yang tidak sukakannya, tapi takkan pengetua juga tidak sukakannya?” Rumput Padang bertanya kepada Pokok Ketapang untuk mendapatkan kepastian. Suasana di padang sekolah itu agak lenggang selepas habis waktu rehat bagi sesi kedua. Pokok Ketapang yang berada di tepi Kerusi Batu Putih melenggok-lenggokkan badannya kerana ditiup angin.

“ Betul. Khabarnya, Ustaz Salleh tu tak buat salah apa-apa pun, tapi…”

“ Tapi kenapa?”

“ Tapi pengetua tak puas hati dengan Ustaz Salleh yang menegurnya kerana dia menggunakan duit tabung sekolah untuk kepentingan dirinya.”

“ Astaghfirullahal’azim…tak sangka aku, pengetua sanggup buat macam tu. Tengok alim saja. Pakai songkok. Ucapan di perhimpunan pagi tak pernah lekang dengan pelbagai hadith, pelbagai kata-kata hikmah. Tapi sayang hanya alim kucing.”

Semalam berlaku pergaduhan antara Cikgu Mustapha dengan Cikgu Rusdi. Walaupun tidak berlaku pertumbukan atau perkelahian, tetapi pertengkaran mereka itu sehingga menimbulkan kekecohan di dalam bilik guru. Cikgu Rusdi selaku Guru Disiplin di sekolah itu tidah berpuas hati dengan Cikgu Mustapha yang dikatakan ‘merampas’ bilik barunya yang di tempatkan di blok yang baru dibina. Pelik. Memang pelik. Cikgu yang dikatakan berpelajaran tinggi boleh bergaduh mengenai perkara titik bengek. Hanya fasal bilik!.

Akhirnya pergaduhan itu ‘dileraikan’ oleh pengetua yang membuat keputusan bahawa bilik itu menjadi milik Cikgu Mustapha iaitu Ketua Penatia Bahasa sekolah itu. keputusan itu memang tidak adil kerana Cikgu Rusdi sudah dijanjikan oleh pengetua akan mendapat bilik yang baru apabila blok baru itu siap nanti. Tetapi lain pula keputusan yang keluar daripada mulut pengetua pada hari itu.

Sebenarnya beberapa hari lepas berlaku konflikasi antara pengetua dan Cikgu Rusdi. Pengetua berasa marah kepada Cikgu Rusdi yang melakukan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap anak kesayangannya Qiutozaly. Cikgu Rusdi hanya menjalankan tugasnya sebagai guru disiplin kerana Qiutozaly didapati merokok di kawasan sekolah. Tetapi pengetua bersikap pentingkan dirinya sendiri.

“ Andi, tadi aku dengar berlaku kecurian di dorm 3.” Ujar Fasulatin yang boring menelaah matapelajaran Biologi begitu lama. Suasana bilik prep yang sentiasa hangar-bingar menambahkan lagi pening kepalanya. Selalunya begitulah, apabila prep malam sahaja pasti bising. Walaupun mereka akan mengambil SPM pada tahun ini, mereka menganggap enteng sahaja perkara ini.

“ Barang apa yang hilang?”

“ Apa lagi? Duitlah.”

“ Berapa?”

“ Pengunguman kepada semua pelajar asrama. Semua pelajar asrama diminta untuk ke padang kerana pengetua hendak membuat perjumpaan.”

Belum sempat Fasulatin hendak menjawab soalan Andikala itu, pengawas asrama pula membuat pengumuman.

“ Apa pula pengetua nak buat kali ni? Orang nak study ni. Esok ada ujian Biologi. Tengah malam pun nak buat perjumpaan. Esok tak bolehkah? Suka susahkan orang,” keluh Andikala yang sedang menelaah matapelajaran Biologi.

Semua pelajar asrama meluru ke padang asrama. Ada yang bawa buku kerana belum habis study. Pelajar asrama hanya berjalan dengan malas ke padang. Mereka malas melayan kerenah pengetua yang hanya pentingkan dirinya sendiri. Adalah lebih bijak sekiranya perhimpunan itu diadakan esok. Pada waktu malam pelajar asrama hendak menelaah pelajaran. Hanya kerana hendak mencari siapa pencuri itu, pelajar lain menjadi mangsa kedunguan pengetua itu.

“ Saya nak siapa yang mencuri duit Fitryhubba mengaku sekarang. Kalau tak mahu mengaku, saya tahu apa yang saya akan lakukan,” tenang kata-kata yang keluar dari mulut pengetua. Dia berlagak baik di hadapan pelajar-pelajar. Sewaktu berucap, pengetua memang tak pernah meninggikan suaranya. Tetapi sikap busuknya tidak pernah tergambar daripada kata-kata yang pernah diluahkannya. Pengetua seolah-olah menasihatkan pelajar-pelajar agar jangan membawa pisau ke asrama, walhal dia sebelah tangannya yang diletakkan di belakangnya sedang memegang sebilah pisau karat.

Pada malam itu sebelum pelajar-pelajar asrama dibenarkan untuk ke bilik prep semula, pengetua tidak habis-habis memaki dan mengutuk Cikgu Khairil yang menjadi warden di asrama itu. Dia menuduh Cikgu Khairil tidak menjalankan tugasnya sebagai seorang warden, dan disebabkan itulah kecurian itu berlaku. Padahal pada malam itu, Cikgu Khairil dan isterinya pergi ke rumah mak mertua Cikgu Khairil kerana mak mertuanya sakit tenat. Pengetua tanpa usul periksa mengatakan akan memecat Cikgu Khairil dari jawatan warden yang dipegangnya. Memang gila kuasa! Warden yang tinggal dua tida kerat sahaja ingin dipecat lagi. Senang-senang biar dia sahaja yang jadi warden!

“ Ha..ha…ha… nampaknya masa gelapnya sudah sampai. Hidup manusia bagaikan roda, sekejap berada di atas dan kemudian berada di bawah pula. Apa yang di tanamnya dahulu, sekarang dia tuai hasilnya. Jika tanaman itu tidak dijaga dengan elok, tidak dibaja, maka buah yang terhasil busuk. Berulat.”

“ Apa yang kau berfalsafah ni Kerusi Batu Putih.”

“ Maksud aku pengetualah. Semalam surat amaran dari Pengarah Pendidikan sudah sampai di meja pejabatnya.”

Surat amaran? Surat amaran apa pula?”

“ Pengetua diberi amaran agar segera mengambil tindakan buang sekolah ke atas anaknya, Qiutozaly. Anaknya itu memang terkenal sebagai samseng di sekolah ni, tapi pengetua masih nak membelanya. Dia juga akan diambil tindakan tatatertib kerana menggunakan duit tabung sekolah untuk kepentingan diri dan kroni-kroninya.”

“ Bagaimana Pengarah Pendidikan boleh tahu mengenai perkara ni?”

“ Ada ibu bapa yang buat surat aduan kepada pihak pengarah. Minggu lepas semasa Mesyuarat Agung PIBG, ramai ibu bapa tidak berpuas hati dengan pengetua yang masih menyimpan samseng seperti Qiutozaly itu di sekolah ni. Tetapi pengetua tak ambil endah sahaja perkara ni. Malah katanya masih ada perkara yang lebih penting, yang sepatutnya dibincangkan.”

“ Memang kenalah. Bapak borek anak rintik.”

Suasana majlis perpisahan bertukar wajah kepada ‘majlis kesyukuran’. Para pelajar yang sepatutnya mengucapkan salam perpisahan kepada pengetua yang akan bertukar ke sekolah lain, tetapi bersorak gembira di belakang dewan. Hanya beberapa kerat yang berada di dalam dewan mendengar ucapan terakhir dari pengetua. Semestinyalah yang berada di dalam dewan itu kroni-kroni pengetua sahaja. Cikgu-cikgu yang datang hanya yang pro dengan pengetua sahaja. Manakala cikgu yang kontra dengan pengetua memberi seribu alasan tidak dapat hadir pada majlis tersebut.

Sejak pengetua masuk ke sekolah itulah cikgu-cikgu di sekolah itu berpuak-puak. Sebelum ini, cikgu-cikgu seperti adik beradik. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri juga turut terasa. Cikgu-cikgu yang pro dengan pengetua, sebenarnya takut kalau-kalau jawatan mereka akan hilang gara-gara mereka membangkang pengetua. Manakala cikgu-cikgu yang kontra dengan pengetua, diibaratkan sebagai perwira di kalangan pelajar-pelajar di sekolah itu.

Episod kejatuhan pucuk pimpinan sekolah itu masih bertunas. Penolong kanan sekolah itu yang dahulunya pro dengan pengetua, telah menjadi pemangku sementara menunggu pengetua yang baru. Dia telah meneruskan dakyah- dakyah perosak kerana segala benih-benih busuk yang ditinggalkan oleh pengetua itu digunakan sebaik-baiknya. Keadaan parut yang dahulunya hanya luka berdarah kini bertukar menjadi nanah busuk yang menanti ulat-ulat untuk menjamah, meratah dengan rakus dan lahapnya.

No comments:

Post a Comment