Di dalam blog ini saya akan berkongsi koleksi ART saya dan apa-apa sahaja mengenai HOBBY saya dengan anda semua yang mempunyai minat yang sama seperti saya....sila klik link di LABELS untuk melihat lebih banyak koleksi ART & HOBBY saya...join lah blog ini dan kita sama-sama berkongsi mengenai ART & HOBBY. :-)

Saturday, January 09, 2010

Cerpen - Lapan Belas

Lapan Belas

Sangkakala bertatah mutiara putih ditiup Sang Seladang Berempat; Sang Hitam, Sang Kelabu, Sang Perang dan bongsunya Sang Putih. Titah Raja Iskandar Dzulkarnain Syah dibaca dengan terang dan jelas kepada seluruh rakyat jelata oleh Si Buyung Botak. Berhimpunlah segenap penghuni Purnamanila di depan astaka tempat bagi Raja Iskandar Dzulkarnain Syah menyampaikan amanatnya. Berketi laksa rakyat berbilang bangsa, berbilang jenis, berbilang spesis, berbilang bahasa membanjiri perhimpunan itu. Berasak-asak anak bini, laki-laki dan yang betina serta yang jantannya.

Gempita rakyat jelata disekat oleh hulubalang diraja Gerombolan Singa Jantan Elbino dengan bedilan rantai berkarat sebesar peha lelaki dewasa setiap gelang rantainya. Kecut hati-hati rakyat yang mendengar bedilan itu. Tiada yang berani membantah. Tidak berapa lama kemudian, bergemeretak atap astaka menandakan hujan panas sudah mula turun. Rakyat yang membawa anak kecil, menggendong anak, menyusu anak agak tidak selesa dengan keadaan begitu tetapi atas kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Sang Raja, mereka tetap menunggu amanat itu.

“ Eh..Bi kau rasa apa yang nak disampaikan oleh raja?” berbisik Sang Madukara kepada betinanya.

“ Entahlah. Aku pun tak tahu. Aku rasa baginda nak adakan keraian tak?”

Hanya bisikan yang kedengaran dari mulut-mulut besar dan kecil, dari yang sekecil hama hinggalah yang sebesar gajah. Mereka semua tertanya-tanya apakah amanat penting itu. Tiba-tiba terdengar bedilan tabuh meraung gagah. Itu menandakan Sang Raja ingin berucap. Semua terdiam dan hanya memerhati Sang Raja yang bangun dari bersemayam di atas singgahsananya lalu menuju ke arah microphone. Sang Raja memperbetulkan microphone itu agar sampai ke paras mulutnya.

“ Ehmm… kepada seluruh rakyat jelata penghuni Purnamanila yang beta kasihi,” begitu cantik kata-kata permulaan yang disusun Sang Raja walaupun tanpa teks. Setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya dipastikan tepat dan betul.

“ Sebenarnya tujuan beta menghimpunkan seluruh penghuni Purnamanila adalah untuk memperkatakan sesuatu yang agak….,” suara Sang Raja tersekat di situ. Dia teragak-agak untuk meneruskan kata-katanya.

“ Cakap sahaja Tuanku. Kami semua sanggup mendengarnya,” celah Si Luncai yang melihat Sang Raja agak keberatan untuk menyampaikan amanatnya.

“ Lapan Belas.”

Tersentak seluruh penghuni Purnamanila mendengar perkataan itu. Perkataan fobia dan telah berabad-abad lamanya keturunan Purnamanila melarang anak cucu mereka daripada memperkatakan perkataan itu. Segala puji bagi Tuhan sekalian alam kerana penghuni Purnamanila tiada yang menghidap penyakit lemah jantung. Jika tidak, alamatnya bertebaranlah seluruh penghidap penyakit itu terdampar pengsan di padang rumput mutiara itu.

“ Ya. Perlumbaan kali ke lapan belas antara Sang Kura-kura dan Sang Arnab akan diadakan,” perlahan kata-kata itu keluar dari mulut Sang Raja tetapi terang kedengaran di setiap empunya telinga. Bagai hendak mengeluarkan emas daripada mulut fi’ilnya.

Arkian bertebaranlah seluruh penghuni Purnamanila bersurai, pulang ke tempat tinggal dan sarang masing-masing. Ada yang menangis kerana bagi mereka petanda buruk akan berlaku. Ada yang buat tak tahu sahaja dan tidak kurang juga yang berpendirian tunggu dan lihat sahaja apa-apa yang akan berlaku.

Pada abad yang kesepuluh dahulu kira-kira dua puluh lima abad yang lalu, pernah berlaku peperangan yang besar antara puak kura-kura dan puak arnab. Hampir separuh daerah Purnamanila musnah akibat sengketa mereka itu. Semua ini gara-gara puak arnab yang tidak berpuas hati kerana kalah untuk kedua belas kalinya pada perlumbaan kali kedua belas itu. Lima tahun selepas itu perlumbaan bagi kali ketiga belas pula diadakan atas permintaan puak arnab yang masih tidak berpuas hati. Puak arnab masih tewas pada perlumbaan itu atas kelalaian mereka.

Keadaan bertambah buruk apabila puak kura-kura telah berubah. Mereka sombong dan bongkak, tidak seperti nenek moyang mereka yang tetap merendah diri walaupun kemenangan memihak pada mereka. Mereka sering berbuat onar di negeri Purnamanila dan mendabik dada atas kemenangan mereka selama ini. Walaupun ternyata kemenangan yang memihak pada mereka itu hanyalah kerana mereka bernasib baik sahaja, dan bukanlah atas ketangkasan dan kehandalan mereka, tetapi mereka terus mencanang kepada orang ramai mengenai kejayaan mereka itu. Semua penghuni Purnamanila sudah meluat dengan kerenah mereka itu.

Lain pula halnya dengan puak arnab. Mereka kini lebih merendah diri dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan nenek moyang mereka lagi. Kini selepas tujuh abad mereka menanggung malu atas kekalahan paling memalukan pada perlumbaan ketujuh belas, mereka lebih berhati-hati dan merancang strategi sejak tujuh dekat yang lalu. Perlumbaan kali ini bukanlah atas permintaan mereka seperti perlumbaan yang sudah, tetapi atas permintaan puak kura-kura yang sombong dan begitu yakin mereka akan menang pada pertandingan kali ini sekali lagi. Tujuh belas dekat mereka merayu melutut di hadapan Raja Iskandar Dzulkarnain Syah untuk adakan pertandingan kali kelapan belas ini. Akhirnya Sang Raja bersetuju, walaupun jauh di sudut hatinya terlalu keberatan untuk mengadakan perlumbaan itu semula.

Sebenarnya telah berkali-kali raja dari puak kura-kura dan raja dari puak arnab dahulukala meminta agar Sang Raja jangan mengadakan perlumbaan ini lagi. Sang Raja telah berjanji dengan raja kura-kura dan raja arnab tidak akan mengadakan perlumbaan itu lagi. Tetapi kini apabila kedua-dua raja itu telah tiada, Sang Raja telah melanggar janjinya. Bukanlah niat Sang Raja hendak mencabul perjanjian itu, tetapi Sang Raja terpaksa demi menjaga kedamaian Purnamanila. Puak kura-kura telah berjanji akan membuat kecaburan sekiranya Sang Raja tidak mahu mengadakan perlumbaan itu. Mereka akan melancarkan serangan pemikiran untuk memusnahkan generasi Purnamanila yang akan datang.

Di Istana Diraja berkumpul segala pembesar-pembesar Diraja dari pelbagai puak dan spesis. Pendekar Helang Jingga yang menakluk kawasan utara datang mengadap Sang Raja yang sedang bersemayam di atas singgahsana emas berhamparkan sutera dari negeri Badar Lembayung. Langkah Pendekar Helang Jingga sungguh gagah secocok dengan gelarannya itu. Disampingnya seekor bomoh dari keluarga orang utan bahagian tenggara. Mereka berdua tunduk menyembah Sang Raja tanda junjung setia.

“ Sembah patik harap diampun. Patik datang mengadap Tuanku dengan membawa bomoh ini. Patik yakin dia dapat menyelesaikan masalah yang kita hadapi sekarang ini,” sembah Pendekar Helang Jingga sambil melutut ke bumi.

Bomoh dari keluarga orang utan itu digelar Tok Janggut Merah. Usianya sudah mencecah 189 tahun, tetapi masih tegap tubuh badannya. Tidak hairanlah kerana dia adalah bekas pembesar Diraja. Lima tahun sebelum ini Tok Janggut Merah pernah menyelesaikan masalah lanun dari negeri Batu Berdarah. Tok Janggut Merah sendiri yang mengepalai pasukan dari udara kerana dia terkenal dengan kebijaksanaannya mengatur strategi dan serangan dari udara.

“ Beta tahu kamu berkebolehan. Tapi beta tak yakin kamu dapat menyelesaikan masalah ini. Perang besar yang kita akan tanggung jika tersalah langkah,” tegas kata-kata yang keluar dari mulut Sang Raja sambil tangannya menggaru bahagian kepalanya yang sepeng itu.

“ Patik ada satu cadangan.”

“ Emm…apa-apa sahaja yang boleh membantu, beta terima. Usulkan sahaja.”

“ Biar sahaja kita mulakan peperangan ini!”

Guruh dilangit tiba-tiba sahaja berdentum bagaikan turut menyaksi kenyataan dari Tok Janggut Merah itu. Sang Raja bingkas bangun dari singgahsananya seraya matanya merah tajam menjegil ke arah Tok Janggut Merah. Dia menjangkakan ide yang bernas keluar daripada mulut Tok janggut Merah, tetapi tekaannya meleset apabila Tok Janggut Merah mengusulkan cadangan yang dirasakan menambahkan lagi masalah yang sedia ada.

“ Kita bukan perang dengan sewenang-wenangnya. Kita kenakan syarat.”

“ Apakah syaratnya. Katakan sahaja Tok Janggut Merah.”

“ Jika puak kura-kura kalah dalam peperangan ini, seluruh harta-harta mereka akan dirampas dan mereka akan diusir dari Purnamanila.”

Sang Raja memegun. Dia cuba memikirkan ide dari Tok Janggut Merah itu. Dia cuba mencari di mana kebaikannya ide Tok Janggut Merah itu. Dia tahu puak kura-kura bukan calang-calang puak dalam negeri Purnamanila ini. Sudah berabad lamanya kekuatan tentera mereka bina dari kecanggihan teknologi yang terkini. Mereka terkenal dengan kebijaksanaan dalam ilmu teknologi setelah mereka menemukan sebuah buku yang mempunyai teknologi untuk generasi akan datang. Teknologi mereka sudah melampaui zaman itu.

“ Tuanku usah gusar. Bukankah strategi untuk mengalahkan musuh dengan mencari kelemahannya?”

“ Jadi apa kelemahan yang ada pada puak kura-kura. Mereka mempunyai teknologi yang canggih dan tak mampu kita tandingi.”

Ada. Lembab. Walau secanggih manapun alat yang mereka ada mereka tetap kura-kura. Bukankah kura-kura sememangnya lembab?”

Sudah lima hari cadangan dari Tok Janggut Merah itu dikemukakan. Tetapi Sang Raja tidak menemui apa-apa tindakan dari pihak Tok Janggut Merah. Peperangan besar yang ingin dilancarkan sudah diberitahu kepada seluruh rakyat jelata Purnamanila termasuk puak kura-kura. Mereka bersetuju dengan peperangan itu malah tidak gentar dengan syarat yang dikenakan.

Di rumah Tok Janggut Merah berhimpun semua anak-anak buahnya. Tok Janggut Merah bertindak sebagai ketua yang akan mengepalai peperangan tersebut. Dia tahu sungguh berat beban yang ditanggung di atas pundaknya. Segala pelan strategi diberitahu satu persatu kepada anak-anak buahnya agar mereka faham apa yang perlu dilakukan. Setiap anak-anak buahnya akan mengetuai pasukannya sendiri. Semuanya ada 12 pasukan yang akan melancar serangan dari 4 arah yang berlainan; utara, selatan, timur dan barat. Setiap arah itu akan ada 3 pasukan yang menyerang dari udara, darat dan laut setiap satunya.

Di bahagian barat laut Purnamanila terdapat pangkalan puak kura-kura yang menempatkan pelbagai alatan perang yang canggih. Ketua puak kura-kura iaitu Pendekar Kura-kura Hitam yang usianya sudah mencecah 109 tahun bersemayam di atas geta bertatah berlian hijau muda bergermelapan. Semua kura-kura yang lain tunduk kepadanya tanda penghormatan. Sesiapa dari puak kura-kura yang tidak berbuat demikian akan dipancung tanpa usul periksa. Begitulah kejamnya pemerintahan Pendekar Kura-kura Hitam.

“ Kita akan menyertai peperangan ini. Semua spesis kura-kura terlibat. Tidak terkecuali seekor pun. Tidak kira samada yang kecil, yang besar, yang miskin, yang kaya, yang sihat mahupun yang sakit. Semua mesti menyertai perlumbaan ini. Faham!” suara Pendekar Kura-kura Hitam kedengaran jelas di dalam dewan berucap itu. Suaranya sentiasa tinggi membuatkan sesiapa yang mendengarnya pasti gerun tambahan pula wataknya yang garang serta bengis itu.

“ Mulai hari ini semua akan menjalani latihan ketenteraan. Tiada lagi masa rehat. Semua mesti berlatih bersungguh-sungguh. Faham!”

“ Faham Tok Ketua!” serentak suara rakyat jelata puak kura-kura.

Peperangan yang dijanjikan akan diadakan pada tiga minggu lagi. Kedua-dua belah pihak iaitu pihak kerajaan; diketuai oleh Tok Janggut Merah dan pihak pembangkang diketuai oleh Pendekar Kura-kura Hitam dari puak kura-kura sudah bersiap sedia dan mengemaskinikan pasukan tentera mereka.

Di istana kerajaan Sang Raja tidak senang duduk dengan hari-hari yang mendatang. Sudah tiga hari baginda tidak tidur memikirkan peperangan yang akan berlaku. Sang Raja gusar Tok Janggut Merah akan kalah dalam peperangan itu nanti. Dua, tiga hari ini Sang Raja hanya menjamah buah anggur sahaja. Itu sahaja yang dapat masuk ke mulutnya.

“ Pasukan berkuda putih bersedia terlebih dahulu!”

Berasak-asak pasukan tentera berkuda putih meluru ke arah utara. Sebanyak 20 000 ekor kuda jantan yang gagah bersemangat menyetai peperangan itu. Setiap seorang penduduk Purnamanila yang menyertai peperangan itu menunggang kuda masing-masing lengkap berpakaian besi berwarna merah dihiasi Kristal putih. Pasukan berkuda putih adalah antara pasukan yang menyerang dari selatan melalui jalan darat.

Pasukan dari pihak Pendekar Kura-kura Hitam juga bersiap sedia dengan pasukan memanah di hadapan. Mereka hanya menunggu arahan untuk menyerang. Semuanya memegun dan mata masing-masing menumpu ke arah pihak lawan.

“ Serang!!!”

Tok Janggut Merah memulakan dahulu arahan. Sepantas itu juga Pendekar Kura-kura Hitam memberi arahan untuk memulakan serangan. Serangan dari pasukan memanah pihak Pendekar Kura-kura Hitam telah melumpuhkan pasukan berkuda dari pihak Tok Janggut Merah. Hampir 5 000 kuda-kuda jantan pasukan itu rebah menyembah bumi. Keadaan bertambah buruk apabila pasukan dari pihak Tok Janggut Merah yang menyerang dari arah barat menyerang terlebih dahulu sebelum menerima arahan dari Tok Janggut Merah. Keadaan menjadi kucar kacir apabila Pendekar Kura-kura hitam memberi arahan agar dua pasukan pengebom dari arah barat menyerang pihak Tok Janggut Merah yang menyerang dari arah barat itu.

Tok Janggut Merah menjadi panik akibat hampir separuh pasukan tenteranya mati. Kebanyakannya mati akibat bertindak tanpa mengikut arahan. Tok Janggut Merah hampir pitam melihat keadaan itu. Dia hanya mengharapkan satu keajaiban berlaku agar pihaknya memenangi peperangan itu. Bukanlah dia takutkan dirinya dipancung jika tidak memenangi peperangan itu, tetapi dia risaukan Purnamanila tidak dapat diselamatkan.

“ Booom!!!”

Bom yang dilontar oleh pasukan Pendekar Kura-kura Hitam hampir terkena Tok Janggut Merah. Tok Janggut Merah hanya dapat melarikan diri untuk menyelamatkan dirinya. Langkahnya perlahan sahaja kerana sudah letih bertambah pula dirinya yang sudah panik. Tiba-tiba…

“ Tuk tuk tuk. Tuk tuk tuk”

Cikgu Alias mengetuk meja Equfaqqar. Beberapa kali mejanya diketuk tetapi dia tetap tidur. Tidak sedar sedikit pun. Ketukan terakhir dilakukan dengan kuat. Hampir seluruh pelajar di dalam kelas itu terkejut. Equfaqqar turut terkejut dan dengan malasnya mengangkat kepala memandang wajah Cikgu Alias. Mata Cikgu Alias dijegilkan ke arah Equfaqqar. Marah benar dia kepada Equfaqqar. Sudah banyak kali di bertanyakan soalan sejarah itu. Belum ada lagi pelajar yang berani tidur semasa dia sedang mengajar. Dirinya terasa tercabar dengan tindakan Equfaqqar itu.

“ Saya tanya kamu tadi. Lepas itu apa yang berlaku?”

Equfaqqar menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Memang itu fi’ilnya apabila ditanyakan soalan.

“ Emm…saya tahu cikgu. Lepas itu pasukan dari pihak Tok Janggut Merah yang menyerang dari arah utara berjaya melumpuhkan pasukan kura-kura yang menyerang menggunakan pistol. Hal ini kerana pasukan kura-kura ini terdiri daripada warga emas yang sudah tidak mampu lagi untuk berperang,” jawab Equfaqqar selamba. Dia yakin dengan jawapannya.

Mata Cikgu Alias yang tadi asyik berjegil, dikuyukan sedikit. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab oleh Equfaqqar. Pelajar-pelajar lain turut melongo mendengar jawapan dari Equfaqqar itu. Jawapan itu langsung tiada kaitan dengan matapelajaran Sejarah yang diajar oleh Cikgu Alias.

“ Emm…lepas itu apa terjadi dengan Tok Janggut Merah?” Cikgu Alias cuba menduga Equfaqqar.

“ Tok Janggut Merah yang lari menyembunyikan diri di sebuah gua telah menghubungi Raja Iskandar Dzulkarnain Syah dengan menggunakan telefon bimbitnya untuk meminta bantuan dari pasukan di-Raja,” jawab Equfaqqar dengan penuh semangat.

Seluruh pelajar di dalam kelas itu tergelak dengan jawapan itu. Tok Janggut pun tahu menggunakan telefon bimbit. Kelas menjadi riuh rendah dengan gelak ketawa. Cikgu Alias memberi arahan agar semua pelajar diam. Cikgu Alias hanya mengangguk mendengar jawapan dari Equfaqqar itu. Mungkin dia tertarik dengan cerita itu.

“ Jadi lepas itu apa yang terjadi? Pihak siapa yang memenangi peperangan itu?”

Equfaqqar terpaku. Dia memandang wajah Cikgu Alias. Sekali lagi kepalanya yang tidak gatal digaru. Pelajar lain turut memegun menunggu jawapan dari Equfaqqar. Apa pula jawapan yang akan diberikan oleh Equfaqqar? Tidak sabar lagi mereka untuk mendengar jawapan itu.

“ Tak tahu lah cikgu. Belum sempat cerita itu habis, cikgu dah kejutkan saya,”

“ Hahaha…hahaha….”

Sekali lagi kelas itu memecah keheningan di pagi itu dengan gelak ketawa dari pelajar-pelajar di kelas itu. Ada yang sampai terjatuh kerana gelak terlalu kuat. Tidak kurang juga yang keluar dari kelas kerana tidak dapat menahan diri dari terkencing.

No comments:

Post a Comment