Di dalam blog ini saya akan berkongsi koleksi ART saya dan apa-apa sahaja mengenai HOBBY saya dengan anda semua yang mempunyai minat yang sama seperti saya....sila klik link di LABELS untuk melihat lebih banyak koleksi ART & HOBBY saya...join lah blog ini dan kita sama-sama berkongsi mengenai ART & HOBBY. :-)

Saturday, January 09, 2010

Cerpen - Diari Seorang Banduan

Diari Seorang Banduan

D ia mengucup beberapa kali Al-Quran di tangannya. Kucupan terakhir dibiarkan lama. Air matanya menitis buat entah ke berapa kalinya. Terkenang kembali segala dosanya yang lalu. Dia merasakan dosanya itu bagai tidak dapat diampunkan. Dosanya bak buih di lautan bahkan dia merasakan lebih daripada itu.

“ Dengan ini mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kamu, Azamudin Bin Ishaq pada 11 September ini.”

Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata dari ketua majesterit itu walaupun sudah tiga minggu kata-kata itu diucapkan. Dirasakannya bagai semalam dia mendengar kata-kata ‘penamat riwayat’ nya itu. Al-Quran yang baru sahaja dibacanya tadi selepas solat Asar diletakkan di atas ‘katil batu’ di sebelahnya. Dia mencapai sebatang pensel kayu serta sebuah buku dan kemudian dia mencoret sesuatu di dalamnya.

Selasa, 18 Januari.

Malam itu terasa indah sekali kerana aku telah menjumpai ‘gadis sempurna’ ku. Baru semalam aku bermimpikan gadis itu. Aku bagaikan terpukau melihat keayuan wajah.....

Dia memandang wajah Lisa agak lama. Belum pernah dia menjumpai gadis secantik itu. Matanya langsung tidak berkelip memandang ‘gadis sempurna’ di depannya itu. Lisa tersenyum melihat gelagat pemuda di depannya. Dia melambai-lambaikan tangannya dekat ke wajah Azam kerana menyangka Azam sedang mengelamun. Azam menggelengkan kepalanya selepas tersedar dari lamunannya. Dia tersengih-sengih dan cuba menutup malunya dengan berbuat seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“ Just call me Lisa,” Lisa menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan.

“ Errr....saya...saya Azam. Panggil saya Az saja,” kata-kata Azam tersekat-sekat kerana rasa kagumnya melihat gadis itu belum lagi hilang. Matanya terkebil-kebil melihat keayuan asli milik gadis di depannya iu. Dia menghulurkan tangan kanannya dan mereka bersalaman tanda perkenalan.

Azam merasakan perkenalan mereka ini akan berpanjangan. Dia melihat Lisa jenis yang mudah termakan dengan umpan lelaki. Azam sudah melupakan isteri dan anak-anaknya di rumah. Dia sudah dilamun cinta.

“ Bang, anak kita rindu sangat pada abang. Setiap hari mereka bertanyakan mengenai abang,” esakan Salsabiala semakin deras melihat keadaan suaminya. Azam semakin kurus. Mukanya mencengkung menampakkan tengkorak pada pipinya. Jambang Azam juga semakin lebat dan kelihatan garisan hitam di bawah mata Azam mungkin akibat banyak menangis agaknya.

“ Ilaa pula bagaimana? Sihat?”

Salsabila cuma mengangguk sayu. Tangan sejuk Azam digenggamnya erat sambil mengucup lembut tangan suaminya itu.

Suara bising dari tirai besi di sebelah mengheret Azam ke alam nyata. Tadi baharu sahaja isterinya, Salsabila datang berjumpa dengannya. Perjumpaan tadi dirasakannya begitu singkat dan dia belum puas menatap wajah isterinya itu. Salsabila berkahwin dengannya lima tahun yang lalu. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Daniel Mustaqim dan Haziq Zulkarnain. Salsabila sebenarnya pernah tewas dengan perkahwinannya yang pertama bersama Adam.

Adam banyak berubah selepas setengah tahun mereka berkahwin. Perniagaan kedai buku Adam sudah semakin maju dan dia telah membuka sebuah syarikat pencetakan. Adam dikatakan semakin lupa daratan sejak dia bergelar businessman. Dia sering mabuk dan pulang lewat malam dari tempat kerjanya. Ada kalanya Adam membawa pulang perempuan ke rumah dalam keadaan mabuk dan terus masuk ke dalam bilik. Salsabila tidak tahu apa yang suaminya dan perempuan itu buat di dalam bilik utama itu.

Salsabila sudah berbuih mulut menasihati suaminya itu tetapi sepak dan terajang yang dia dapat sebagai balasan. Salsabila tidak faham mengapa Adam cepat sangat berubah. Mahligai yang mereka bina atas dasar cinta hanya mencecah usia setahun setengah. Belum lagi mereka sempat dikurniakan cahaya mata, Adam sudah ‘melepaskannya’. Dahulu sebelum berkahwin mereka menempuh pelbagai dugaan dan Adam menyatakan dia tidak dapat hidup tanpa Salsabila, tetapi keadaan sekarang adalah sebaliknya. Azam berkahwin dengan Salsabila setelah berjaya menambat hati wanita itu. Walaupun agak sukar untuk memujuk Salsabila memandangkan Salsabila baharu sahaja bercerai dengan Adam, tetapi Azam tidak pernah mengalah. Baginya hendak seribu daya.

Khamis, 27 Januari.

Perjumpaan pertama kami seperti tak disangka-sangka. Aku mengajak Lisa keluar untuk makan malam bersama. Aku perlu berbohong kepada isteriku.......

Azam tersipu-sipu apabila berjumpa dengan ‘gadis sempurna’ nya itu. Pelayan yang tadi baharu saja mengambil tempahan berlalu pergi. Lampu suram berwarna ungu menambahkan lagi suasana romantik pada malam itu. Pakaian ketat yang dipakai Lisa menampakkan lagi keseksian Lisa dan ternyata Lisa tidak ketinggalan dalam dunia fesyen.

“ Li... Lisa... Lisa... kerja... apa sekarang,” Azam memulakan bicara. Dia sebenarnya agak gementar. Kata-kata yang tadi disusunnya cantik sebelum ke situ seperti tidak mahu keluar dari kerongkongnya.

“ Lisa ada buka perniagaan kecil-kecilan,” kata-kata Lisa tersusun cantik. Ternyata dia tidak kekok apabila berbual walaupun mereka baru sahaja berjumpa.

“ Awak pula?”

“ Saya seorang pelukis. Saya ada buka sebuah galeri di pasar seni. Nanti kalau ada masa datanglah.”

Sudah lima tahun Azam memilih kerjaya ini. Walaupun pendapatannya tidaklah lumayan, tetapi Azam berjaya memberi nafkah kepada isteri dan dua orang anaknya dengan hasil titik peluhnya itu. Azam juga mendapat tender untuk menyiapkan mural di sebuah sekolah berasrama penuh baru-baru ini. Lumayan juga bayarannya. Azam tidak kisah bekerja di mana-mana, asalkan dia dapat duit untuk menyara keluarganya.

“ Saya ada kerja untuk awak. Itu pun kalau awak mahu. Bayarannya lumayan,” ujar Lisa sambil menyedut fresh orange yang baru sahaja dihantar oleh pelayan sebentar tadi.

“ Kerja apa tu? Kalau sesuai dengan saya, saya terima,” ujar Azam dengan wajah terukir senyuman kerana mungkin dia dapat menambah lagi pendapatan keluarganya.

“ Esok pukul 11.00 pagi kita jumpa di tempat yang saya akan tetapkan nanti. Di sana saya akan terangkan apa yang awak perlu buat.”

Tangisan Azam yang baru sahaja kering, basah semula apabila terkenangkan dosa-dosanya yang telah lalu. Azam menyeka air matanya. Azan yang menandakan solat Maghrib telah pun berkumandang. Azam segera bersiap ke surau untuk menunaikan solat Maghrib. Semua banduan lelaki yang beragama Islam digalakkan untuk ke surau untuk menunaikan solat dan kemudiannya ada sedikit santapan rohani iaitu Kuliah Maghrib.

Azam sebenarnya bersyukur kerana Allah menghukumnya di dunia ini. Azam tidak mahu diseksa di akhirat kelak. Dia rasa bertuah kerana masuk ke penjara, jika tidak mungkin dia tidak akan berubah buat selama-lamanya. Dulu dia tidak pernah menunaikan solat dan sering kali meninggalkan perintah Allah yang lain. Walaupun Salsabila ada menegurnya, tetapi Azam tidak ambil cakna.

“ Hidup kita di dunia ini hanya sementara. Akhirat adalah tempat kita yang sebenarnya. Jika manusia gagal menanam tanaman yang baik di dunia ini, maka di akhirat kelak dia juga gagal menuai hasil yang baik,” kata-kata Ustaz Arifin itu seperti betul-betul terkena ke atas batang hidungnya. Malah mungkin semua banduan yang berada di situ juga berasa demikian. Semua banduan di situ pernah melakukan jenayah, malah jenayah yang lebih berat daripada Azam pun ada.

“ Maka hendaklah kita semua beramal di dunia ini. Kamu semua sebenarnya sungguh bertuah kerana Allah masih sayangkan kamu dan Dia memberi peluang kepada kamu untuk bertaubat,” ujar Ustaz Arifin lagi membuatkan Azam bertambah terharu dengan kasih sayang yang Allah berikannya kepadanya, cuma dia sahaja yang tidak mahu bersyukur kepada Nya selama ini.

Rabu, 2 Februari.

Hidupku mula berubah. Tetapi aku tidak ada pilihan lain selain terpaksa meneruskan juga pekerjaan itu. Lisa....

Perjumpaan Azam dengan pengikut Lisa minggu lepas adalah satu titik permulaan bermulanya kehidupan Azam yang baru. Lisa yang berjanji ingin berjumpa dengannya tidak dapat dikotakan, ada hal mustahak katanya. Azam mengikut sahaja kata-kata Lisa. Sebelum perjumpaan itu Azam diberi satu password, dan Lisa memberitahunya password itu hanya digunakan oleh kumpulan mereka apabila berjumpa. Azam mula berasa tidak senang dengan pekerjaan yang bakal dilakukannya. Business apa yang dijalankan Lisa sehingga memerlukan pekerja lelaki yang begitu ramai. Semuanya berbadan sasa pula. Pakaian mereka pula tidak menunjukkan mereka menjalankan business.

“ Kerja awak senang saja. Awak cuma perlu menghantar barang ini di tempat yang ditetapkan,” kata seorang pekerja Lisa sambil menghulurkan kepadanya satu bungkusan beg plastik hitam.

Azam hanya mengangguk. Kelakuannya persis pak turut. Hanya mengikut sahaja kata-kata pekerja Lisa itu tanpa usul periksa. Azam segera berlalu meninggalkan mereka dan pergi ke tempat yang dimaksudkan. Azam perlu cepat kerana pekerja Lisa itu berkata orang yang menempah barangan itu memerlukannya segera. Kereta yang dipandu Azam dilajukan sedikit tetapi cermat. Apabila sampai ke tempat yang dimaksudkan, Azam terus segera mencari orang yang menempah barang itu dengan mengenal pasti daripada perwatakan orang itu walaupun Azam tidak kenal orang itu. Semuanya pekerja Lisa yang beritahu.

Selepas berjumpa dengan orang itu dan bayaran pun telah diberikan Azam terus beredar. Azam perlu berhati-hati agar pergerakannya tidak mendatangkan curiga kepada orang ramai. Pekerja Lisa itu juga tidak mahu pekerjaan mereka diketahui oleh orang lain. Azam semakin keliru dengan jenis pekerjaan yang Lisa jalankan. Kenapa perlu disorokkan pekerjaan itu.

Makan tengahari hanya ala kadar sahaja pada hari itu. Azam tidak pernah merungut soal makanan. Apa-apa sahaja yang terhidang di hadapannya akan dijamahnya dengan penuh syukur. Selepas habis makan Azam terus pergi berjumpa dengan Ustaz Arifin. Pagi tadi dia ada berjumpa dengan Ustaz Arifin tetapi Ustaz Arifin menyatakan dia ada kerja yang perlu diselesaikan dan dia mengarahkan agar Azam berjumpa dengannya selepas makan tengahari.

“ Masuklah.”

Azam menguak daun pintu di pejabat Ustaz Arifin. Dia melangkah masuk dengan perlahan dan di tangannya ada sebuah buku berkulit biru muda. Dia duduk di atas kerusi empuk yang bertentang arah dengan Ustaz Arifin setelah dipersilakan oleh Ustaz Arifin. Ustaz Arifin hanya memandang sedari tadi dan tidak berkata apa-apa. Dia inginkan Azam yang memulakan dahulu perbualan.

“ Sebenarnya saya ada hajat,” kata Azam memulakan perbualan setelah agak lama dia berdiam.

Ada apa? Cakaplah, mungkin saya boleh bantu saya akan bantu,” ujar Ustaz Arifin yang usianya sudah hampir setengah abad. Tetapi wajahnya langsung tidak dimamah usia.

Azam menyerahkan sebuah buku yang dibawanya tadi kepada Ustaz Arifin. Di dalamnya tertulis segala kisah hidupnya. Hidupnya yang penuh dengan ‘kekotoran’. Buku itu ditulisnya semenjak perkenalan dengan isterinya, Salsabila.

“ Tolong sampaikan buku ini kepada isteri saya apabila saya sudah tiada nanti.”

“ Baiklah,” Ustaz Arifin hanya menunduk tanda faham dengan kata-kata Azam itu.

Selasa, 18 April.

Aku sudah mula berjinak-jinak dengan syabu. Ini semua gara-gara Lisa. Baru aku kenal siapa Lisa sebenarnya. dia adalah ‘syaitan’ yang bertopengkan wajah manis. Aku sudah mula ketagih dan sudah terlambat untukku berpatah balik. Pada mulanya Lisa memperkenalkan kepadaku ubat ‘penghilang masalah’. Lisa kata selepas makan ubat itu masalah aku akan hilang. Aku…….

Sekeping kertas aluminium diambilnya dan di atasnya diletakkan serpihan-serpihan ‘kristal’. Dicapainya pula pemetik api di sisinya kemudian dia menyalakannya. Api dicucuhkannya ke arah ‘kristal’ itu. Asap berkepul-kepul terbang ke udara menyesakkan nafas. Terkebil-kebil mata Azam dan dia terus menyedut asap itu dengan lahapnya. Kawannya-kawannya yang lain turut melakukan seperti apa yang Azam lakukan. Mereka mula berkhayal dan berkata-kata dengan perkataan yang agak sukar difahami. Tergoyang-goyang kepala Azam dan kekawannya. Mereka melayan gian masing-masing.

“ Kau ada ‘ais’ lagi tak. Kita habiskan hari ni juga. Aku dah tak tahan ni,” kata Azam dengan terhoyong-hayang. Dia sudah tidak ingat apa-apa lagi kecuali ingin memuaskan giannya sahaja.

“ Aku dah habis. Takkan tak cukup. Hari ni kita dah habiskan tiga ratus lebih untuk beli ‘ais’. Aku dah tak ada duit.”

“ Apa kau cakap! Kau nak tipu aku? Aku tahu kau ada lagi,” tengking Azam yang marahkan rakannya itu kerana tidak memenuhi kehendaknya.

“ Tak boleh. Ini untuk dijual.”

Azam yang semakin terbakar terus bangun dan melepaskan tumbukannya kearah perut Jefry. Dia sudah lama menaruh dendam dengan Jefry sejak Jefry memasuki kumpulan itu. Azam juga hairan mengapa Jefry tidak ikut serta dengan mereka melayan syabu atau dikenali juga dengan ‘ais’ atau ‘kristal’ di kalangan penagihnya.

Ahad, 3 Julai.

Seorang ahli kumpulan baru memasuki kumpulan itu minggu lepas. Amyliya namanya. Aku cuba memikat gadis itu tetapi sekali lagi Jefri masuk campur. Pertelingkahan aku dan Jefri semakin menjadi-jadi. Pernah juga aku merancang untuk membunuhnya agar rancanganku untuk memikat Amyliya tiada penghalang lagi. Jefri….

Kerlipan nion di ibu kota amat cantik pada waktu malam. Hiruk pikuk bunyi kenderaan dan penghuninya menyaksikan wajah sebenar kota metropolitan itu. Azam meneruskan rutin hariannya di lorong-lorong untuk memuaskan giannya dengan najis dadah. Dia sudah tidak hiraukan sesiapa yang lau-lalang di situ. Tetapi kekadang Azam perlu awas jika ada polis yang beroperasi di kawasan tersebut. Pernah minggu lepas polis menjalankan operasi mencegah penagih tegar sepertinya, habis semua penagih di situ termasuk dirinya lari lintang pukang membuka seribu langkah. Azam tidak mahu meringkuk di dalam penjara, dia mahu menikmati hidup ini sepuas-puasnya.

Salsabila dan anak-anaknya di rumah sentiasa menunggunya di rumah. Salsabila masih tidak tahu ke mana suaminya itu pergi sehingga kekadang tidak pulang ke rumah sehingga berhari-hari. Azam sering memberi helah kepada isterinya itu dia mencari rezeki lebih tetapi dia tidak pernah memberitahu isterinya itu kerja apa yang dia buat. Salsabila tidak pernah mengsyaki apa-apa yang tidak baik terhadap suaminya itu, kerana Azam pandai berpura-pura apabila pulang ke rumah dengan berpakaian kemas dan menunjukkan dia bukan seperti seorang penagih. Apabila pulang ke rumah dia akan membawa pulang sesuatu untuk anak-anaknya dan ini membuatkan Salsabila lebih menyangka baik terhadap suaminya itu. Berlainan pula dengan suami pertama Salsabila iaitu Adam. Adam sudah menunjukkan belangnya setengah tahun selepas perkahwinan mereka.

Isnin, 12 Julai.

Amyliya sudah terkena umpanku. Dia telah bersetuju untuk mengikutku ke sebuah hotel. kami menempah bilik yang berlainan agar tidak disyaki sesuatu. Aku pergi ke bilil Amyliya dan kami…..

Belum sempat kami berbuat apa-apa Amyliya meminta izin ingin ke bilik air, ingin mandi katanya. Azam tidak sabar-sabar lagi menunggu saat-saat itu. Bagi Azam dia sudah menang dengan Jefri kerana Amyliya sudah menjadi miliknya sekarang. Azam mencapai subuah majalah yang terdapat di meja sebelahnya sambil meninggu Amyliya. Tiba-tiba terdengar ketukan yang agak kuat dari arah pintu utama. Azam sudah dapat mengagak siapakah ‘tetamu tak diundang’ itu. Azam hairan kenapa jejak mereka masih dapat dikesani kerana dari tadi dia sudah memastikan bahawa tiada siapa yang nampak kewujudan mereka di situ. Mungkin ada sesiapa yang menjadi pengintip mereka. Azam pergi membuka pintu bilik itu. Azam bertambah terkejut apabila daun pintu dikuak bukan ‘tetamu yang tak diundang’ seperti selalunya itu yang datang tetapi…

“ Jangan bergerak. Kami polis. Awak ditahan kerana disyaki mengedar dadah jenis syabu.”

Azam cuba melarikan diri. Dua tiga orang pegawai polis itu berjaya dibolosinya. Dia berlari ke arah baju jaketnya yang tersangkut pada penyangkut yang ada di dinding. Dia cuba mencari pistol yang sentiasa dibawanya kerana perkerjaannya berisiko tinggi.

“ Jangan bergerak. Saya polis. Sarjan tangkap dia dan bawanya ke balai,” suara Amyliya yang tiba-tiba muncul dari bilik air.

“ Apa semua ni. Kamu semua nak perangkap aku. Amyliya apa semua ini?”

“ Saya Inspektor Amyliya. Kami ditugaskan untuk menangkap penagih tegar seperti awak. Saya dan Inspektor Jefri sudah lama menyamar untuk menangkap awak,” ujar Amyliya dan tiba-tiba muncul Jefri dari sebalik muka pintu.

“ Kamu tipu aku. Aku tak bersalah. Aku sudah lama meninggalkan kerja mengedar ‘ais’. Aku hanya penagih. Lepaskan aku!,” tengking Azam dan meronta-ronta agar dirinya dilepaskan. Memang betul dia sudah lama tidak mengedar. Dia tidak mahu kerana kerja itu dia dihukum gantung.

Inspektor Jefri memeritahkan detektifnya memeriksa seluruh pakaian Azam termasuk jaketnya yang tergantung di dinding. Azam sedikit pun tidak merasa gentar dengan tindakan polis itu kerana dia tahu tiada syabu di dalam pakaiannya.

“ Ni apa ni? Bukan syabu? Kamu nak menafikan lagi ini bukan milik kamu? Cepat bawa dia ke balai,” perintah Inspektor Jefri sambil di tangannya memegang beberapa paket ‘ais’ yang di keluarkan dari jaketnya.

Azam terkejut apabila melihat ‘ais’ itu. Azam tidak tahu bagaimana syabu itu berada di dalam jaketnya. Dia cuba memberikan penjelasan kepada Inspektor Amyliya bahawa syabu itu bukan miliknya. Tetapi Inspektor langsung tidak endahkan kata-katanya. Bukti sudah jelas menunjukkan yang Azam bersalah. Tiba-tiba Azam teringatkan Lisa. Mungkin ini semua angkara Lisa. Azam menumbuk tapak tangannya dengan wajah marah. Detektif yang bertugas itu terus membawanya menuju ke kereta peronda dan seterusnya dia di bawa ke balai polis untuk di soal siasat.

Azam bangun awal pagi itu. Dia menunaikan solat Subuh dan membaca beberapa kerat ayat Al-Quran. Hatinya tenang selepas membaca ayat-ayat suci itu. Hari ini ialah hari yang amat memdebarkan baginya. Hari dia berjumpa dengan Tuhannya. Azam berasa bertuah kerana dia antara yang mengetahui hari kematian sendiri. Dia mengetahui ajalnya akan sampai pada hari ini. Sebenarnya Azam sudah bersedia untuk berjumpa dengan Tuhannya. Dia perlu tabah dan segala nasihat Ustaz Arifin sentiasa tersemat di dalam sanubarinya.

Terdengar suara dari luar tirai besi memerintahkannya untuk keluar. Warder penjara itu membuka pintu dan pada waktu itu jantung Azam semakin berdebar. Bibirnya tidak henti-henti dibasahkannya dengan tasbih dan tahmid kepada Allah. Tetapi langkahnya tetap tenang. Dia tidak mahu menunjukkan yang dia sedamg gementar. Dia dibawa ke bilik yang lain untuk hukuman dijalankan. Kotak fikirannya ligat memutarkan kembali segala lipatan sejarahnya yang lepas. Wajah Salsabila dan dua orang anaknya silih berganti dalam memorinya. Terasa hangat pada matanya. Azam membiarkan air jernih itu jatuh ke bumi.

“ Sekali lagi saya ingin nasihatkan kepada kamu, sebelum kamu menemui ajal kamu hendaklah kamu mengucap kalimah syahadah. Seorang mukmin hendaklah mati sebagai mukmin,” ujar Ustaz Arifin yang sentiasa menemaninya walaupun sehingga ke saat-saat terakhir.

Sarung hitam dipakaikan ke kepalanya. Kepalanya sudah terikat seutas tali. Terkumit-kumit mulutnya membaca sesuatu. Saat yang ditunggu sudah tiba. Pergilah seorang banduan yang bernama Azamudin Bin Ishak.

“ Innalillahiwainnailaihirajiuun.”

Salsabila tetap tenang dengan pemergian suaminya itu. Dia membuka sebuah diari yang diberikan kepadanya oleh Ustaz Arifin semalam. Hajat arwah katanya agar menyampaikan diari itu kepadanya. Dia menyeka air matanya apabila membuka helaian pertama diari itu. Dipeluknya kedua-dua orang anaknya yang berada di sisinya dan kemudian mencium dahi mereka. Dia membiarkan air matanya terus mengalir deras.

Rabu, 13 Mac.

Perkenalanku dengan Salsabila mengubah segala hidupku. Hidupku sebatang kara selama ini, tetapi selepas kedatangan Salsabila aku rasakan hidupku lebih bermakna. Salsabila adalah cinta pandang pertamaku. Sebelum ini aku pernah berkenalah dengan beberapa orang perempuan, tetapi Salsabila lain dari yang lain. Aku berhasrat untuk melamarnya dan berjanji akan menjadi suami yang baik. Aku berjanji. Aku cintakan kau Salsabila.

No comments:

Post a Comment