Di dalam blog ini saya akan berkongsi koleksi ART saya dan apa-apa sahaja mengenai HOBBY saya dengan anda semua yang mempunyai minat yang sama seperti saya....sila klik link di LABELS untuk melihat lebih banyak koleksi ART & HOBBY saya...join lah blog ini dan kita sama-sama berkongsi mengenai ART & HOBBY. :-)

Saturday, January 09, 2010

Cerpen - Salsabila

Salsabila

T atkala hujan renyai turun membasahi tubuh kecil gadis kampung itu, anak mataku terus meleret memandangnya sayu. Gadis itu tidak menghiraukan berpasang-pasang mata lain yang turut memandangnya. Kotor dan daki di tubuhnya tidak begitu kelihatan kerana disirami air hujan. Begitupun hatiku tidak putus-putus dihujani simpati ke atas gadis yang terus berjalan dihadapanku itu.

Barli ais yang kutempah sedari tadi masih tidak sampai. Aku merengus panjang dan terkadang berasa marah juga kepada pelayan kedai itu yang selalu lambat menyiapkan tempahan pelanggan. Aku tidak hairan gerai itu kekurangan pelanggan.

Asyik menunggu barli ais yang tidak sampai itu, memoriku terus berputar kembali mengenangkan kisah gadis itu. Aku kenal sangat dengan gadis itu. Salsabila namanya. Cantik nama itu sama seperti pemiliknya. Gadis kampung itu baik tetapi sering diumpat orang kampung serta kawan-kawannya. Aku tidak tahu mengapa orang kampung begitu membencinya.

Kisahnya bermula apabila emaknya iaitu Mak Midah meninggal dunia tiga tahun yang lalu. Dia tiada tempat untuk mengadu tambahan pula ayahnya sudah berkahwin dengan seorang janda yang digilai oleh pemuda-pemuda dikampung itu. Jamilah namanya. Salsabila juga mempunyai seorang adik yang bernama Akma. Akma sekarang tinggal bersama emak saudaranya di Singapura. Salsabila sebenarnya tidak begitu menyukai ibu tirinya itu kerana perempuan itu sering dikatakan suka menggoda pemuda-pemuda di kampung itu. Sering kali dilihatnya juga perempuan itu bertukar-tukar lelaki. Salsabila tahu ayahnya juga sudah masak dengan perangai perempuan itu. Tapi Salsabila tidak dapat berbuat apa-apa kerana hati ayah sudah terpaut dengan janda itu. Betul kata orang, cinta itu buta. Sesiapa yang terkena penyakit cinta tidak mengenali yang mana kaca dan yang mana permata.

“ Ilaa, esok ayah dan Mak Uda kamu nak ke Langkawi. Kamu duduk di rumah, jaga rumah elok-elok,” kata ayah yang sedari tadi begitu asyik membaca surat khabar. Mungkin ada berita menarik di dalamnya. Ayah memang begitu apabila membaca surat khabar, dia akan membacanya lama-lama, sehingga Salsabila yang datang membawa hidangan minuman petang itu pun tidak disedarinya.

“ Baiklah ayah. Lagipun esok Ilaa ada kelas tambahan di sekolah. Bila ayah akan balik ke rumah?,” Tanya Salsabila sambil menuang air teh ke dalam cawan.

“ Ayah pergi sehari saja. Mak Uda kamu ada hal sikit di kampungnya.”

Salsabila mengangguk tanda faham denga kata-kata ayahnya. Dia tahu Mak Uda ada masalah dengan keluarganya. Masalah kewangan. Sejak dua bulan ini kerap juga ayahnya dan Mak Uda berulang-alik ke Langkawi. Mak Uda dikatakan banyak berhutang dengan keluarganya. Duit yang digunakan untuk membayar hutang itu bukanlah duit Mak Uda, tetapi semuanya duit ayah. Salsabila bukanlah tidak suka ayahnya menolong Mak Udanya , tapi ayah terlalu mengikut sangat kata-kata Mak Udanya itu. Dulu ada juga dia mendengar dari mulut orang kampung, Mak Udanya ada menggunakan khidmad Bomoh Hitam untuk mendapatkan ayahnya. Tetapi dia cuba tidak mempercayainya.

Pagi itu cahaya matahari cukup indah ditambah pula udara segar sambil terdengar kicauan anak-anak burung dihadapan rumahnya. Bibirnya sentiasa mengukir senyuman kerana pagi itu dia akan berjumpa dengan orang yang dikasihinya. Mereka berjumpa di belakang sekolah. Buah hatinya itu yang meminta mereka berjumpa. Ada hal penting katanya.

“ Ilaa, minggu depan abang akan ke Kuala Lumpur. Abang dah dapat kerja disana. Kerja di restoran.”

“ Minggu depan? Kenapa cepat sangat? Bukankah abang kata bulan depan?” Salsabila tunduk. Dia tidak dapat menahan lagi matanya yang semakin berkaca. Air jernih itu jatuh juga membasahi pipi lembutnya. Dia amat menyayangi Adam. Adamlah tempatnya mengadu selepas kehilangan emak kesayangannya. Adam adalah pemuda yang baik. Dia tinggal di kampung seberang. Walaupun Adam tidaklah sekacak Kamal, tetapi dia tahu hati budi Adam. Walaupun Kamal kacak dan digilai ramai anak gadis di kampungnya itu, tapi Kamal dikatakan sering bertukar perempuan. Sebenarnya Salsabila tidak mahu Adam pergi ke Kuala Lumpur, walaupun Adam mengatakan dia akan pergi ke sana bulan depan. Biarlah Adam terus berada di sisinya. Bukannya tidak ada kerja di kampung itu.

“ Abang terpaksa pergi juga Ilaa. Abang nak kumpul duit untuk buka perniagaan nanti Ilaa.”

Salsabila tahu Adam adalah pemuda yang begitu gigih ingin mencapai cita-citanya. Walaupun Adam bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi, tetapi Salsabila yakin Adam mampu mencapai cita-citanya itu. Adam bukanlah tidak pandai, tetapi dia tidak dapat meneruskan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi kerana keluarganya memerlukan wang yang banyak untuk menampung kos perubatan adik perempuannya yang mengidap leukemia.

“ Encik ni airnya,” kata pelayan gerai itu dan terus berlalu tanpa sedikitpun mengulas senyuman kepadaku.

“ Hantar air lambat, senyum pun tidak,” kataku perlahan kerana tidak mahu pelanggan di gerai itu mendengar keluhanku, tambahan pula ada seorang Tok Imam di hadapanku. Segan pula aku kalau aku mengeluh kuat-kuat.

Hujan yang sudah hampir setengah jam membasahi bumi itu sudah hampir reda. Aku tercari-cari gadis yang tadi melintas dihadapanku. Entah ke mana dia menghilang. Aku menyeluk poket seluarku, lantas mengeluarkan dua helai wang kertas biru dan meletakkannya diatas meja. Aku terus berlalu pergi tanpa membayarnya di kaunter bayaran. Malas aku melayan kerenah pelayan seperti itu. Aku memacu laju kereta Lotus milikku itu. Aku ingin sampai cepat ke rumahku. Tadi aku singgah di gerai kerana hujan renyai, bukanlah untuk minum sangat. Kereta Lotusku terus meluncur laju. Aku dapat membayangkan keadaan marah adikku yang sedari tadi asyik menghantar SMS kepadaku kerana dia ingin menggunakan keretaku.

Salsabilah terus berjalan. Dia tidak tahu ke mana dia akan pergi. Badannya basah kuyup dibasahi air hujan. Dia cuba memandang ke arah langit. Raksasa bulat itu sudah menampakkan dirinya. Awam putih turut menyerlahkan dirinya menjadikan suasana petang itu cukup cantik dihiasi pelangi indah di sebalik lambaian lintuk pepohon nyiur.

Salsabila sudah penat berjalan. Dia melabuhkan punggungnya diatas kerusi di perhentian bas. Hanya dia seorang di situ. Tiba-tiba dia terdengar deringan poliponik lagu Hindustan yang bertajuk Hum Ko Humi Se dari filem Mohabbateen. Dia cuba mencari dari mana deringan itu lagak menyalak. Dia cuba mencarinya di sekeliling tempat duduk yang usang itu. Dia terlihat telefon bimbit itu berada di bawah kerusi, lantas dia mengambilnya. Dia terkejut melihat wallpaper pada skrin telefon bimbit tersebut. Dia kenal gambar itu. Kenal sangat-sangat.

“ Abang Adam. Jawab abang Adam. Ilaa ni.”

“ Ilaa. Abang di sini. Ilaa kat mana tu?”

“ Ilaa ada di kuala Lumpur sekarang, boleh kita jumpa nanti,” sinar memancar di mukanya apabila dapat mendengar suara buah hatinya. Telefon bimbit itu dikucupnya berulang kali, walaupun dia tidak dapat mengucup pemiliknya. Dia terus berjalan sambil mengenangkan nasib yang sering kali tidak menyebelahinya. Sudah puas dia menangis. Keadaan tetap tidak akan berubah.

“ Dia sudah gila. Kita usir sahaja dia dari kampung ini Tok Penghulu. Dia dah gila,” marah benar Pak Mat kepada gadis itu. Matanya merah lagi dijegilkannya. Tidak henti-henti dia mengapi-apikan Tok Penghulu agar mengusir gadis itu.

“ Ilaa, tok rasa lebih baik kamu pergi nak. Orang kampung sudah tidak suka dengan kamu. Pergilah,” rayu Tok Penghulu, walaupun jauh disudut hatinya tidak merelakan anak buahnya itu pergi dari kampung itu. Dia percaya Salsabila tidak akan buat semua itu. Tetapi dia tiada bukti yang dapat mengatakan bahawa Salsabila tidak bersalah.

Pagi semalam orang kampung terjumpa mayat seorang bayi di dalam tong sampah, belakang kedai Pak Samat. Orang kampung percaya mayat bayi tersebut adalah anak luar nikah yang dikandung Salsabila selama ini. Orang kampung menuduhnya membuang bayi itu kerana tidak sanggup menanggung malu mengandung anak luar nikah itu.

Salsabila bangun dalam keadaan yang tidak berdaya. Dia sudah penat berjalan. Perutnya sedang galak berkeroncong menandakan minta diisi. Di koceknya baju kurungnya ada beberapa keping wang syiling yang diberikan oleh orang ramai kerana menyangka dia seorang pengemis ketika berada di pasar tani pagi tadi. Dia cuba mencari apa-apa yang dapat dibelinya dengan wang sebanyak itu. Langkahnya terus diatur menyusuri jalan berlopak yang dipenuhi air hujan. Terkadang dia terjatuh akibat tersadung batu jalan yang berselerak di kiri kanannnya.

“ Ilaa. Ilaa. Kamukah itu nak? Mari sini nak.”

Salsabila cuba mencari dari mana suara itu memanggilnya. Dia ternampak seorang tua melambai-lambai sambil memanggilnya. Dia kenal orang tua itu. Orang tua itu ialah Pak Long Sarip, bapa saudaranya dan abang kepada ayahnya. Pak Long Sarip sudah lama menetap di Kuala Lumpur. Dia membuka perniagaan menjual barangan memancing di kota metropolitan itu.

Dia mengajak Salsabila masuk kerumahnya. Salsabila menceritakan apa yang berlaku dan bagaimana dia boleh sampai ke sini. Tercalit rasa kesal pada raut muka Pak Long Sarip yang sudak berkedut itu. Usianya sudah setengah abad lebih. Dia tidak dapat mengelak dari air jernihnya jatuh ke bumi. Dia menyatakan rasa kesalnya kerana tidak dapat berada di sisi Salsabila selama ini.

“Kita jumpa esok pukul 8.00 pagi.”

Adam menghantar SMS kepada Salsabila menggunakan telefon bimbit barunya. Dia terpaksa membelinya kerana dia amat-amat memerlukannya, tambahan pula perniagaan kedai bukunya bertambah maju kebelakangan ini. Perniagaan yang diusahakannya selama ini menggunakan duit dari hasil titik peluhnya selama ini bekerja di restoran dan beberapa tempat kerja yang lain.

Salsabila menghempaskan badannya di katil empuk itu selepas menunaikan solat Maghrib. Dia terdengar deringan dari telefon bimbit yang dijumpanya tadi menandakan ada mesej yang sampai. Dia membaca mesej tersebut dan faham dengan isinya. Hatinya tiba-tiba berasa resah. Bagaimana keadaannya esok apabila berjumpa dengan Adam. Dapatkah Adam menerimanya setelah mendengar segala nasibnya kepada Adam? Salsabila cuba melelapkan matanya dan cuba untuk melupakan segala apa yang berlaku kepadanya selama ini. Dia berharap apabila dia bangun esok pagi segala masalahnya akan hilang dari hidupnya. Bagaimanapun Salsabila tetap redha dengan perjalanan hidupnya dan menganggap segala yang berlaku ada hikmahnya cuma Allah belum menunjukannya.

Salsabila cuba mengelak daripada dirangkul kuat ayahnya. Ayahnya bagaikan sudah hilang akal dan nafsunya tidak dapat ditahan lagi. Salsabila cuba mengelak dari terus dipeluk ayahnya. Ayahnya bertindak lebih kasar dengan menamparnya dan menciumnya. Keadaan Salsabila yang sedia lemah kerana baharu pulang dari kelas tambahan pada malam itu, tidak dapat berbuat apa-apa. Tubuhnya terpaksa direlakan untuk diratah oleh manusia yang sedarah sedaging dengannya. Tidak terdaya lagi dia melakukan apa-apa kerana kudratnya tidak setanding ayahnya. Apabila tersedar dia tidak dapat menahan perasaannya lantas menangis dan berteriak berkali-kali. Dia terus berteriak seperti orang terkena histeria.

“ Astaghfirullahala’zim.”

Salsabila beristighfar beberapa kali. Dia menekup mukanya dan menangis. Dia mengenangkan kembali kisah yang menghantui hidupnya itu. Dia cuba untuk melupakan terus kisah hitam itu, tetapi dia tidak berdaya. Semakin dia cuba untuk melupakannya, semakin igauan tersebut bermain difikirannya. Hampir setiap malam dia bermimpikan peristiwa hitam tersebut. Peristiwa hitam tersebut menjadikan hidupnya tidak tentu arah. Hidupnya bagaikan tiada hala tuju. Bagaimanapun dia cuba kuatkan dirinya menempuh hidup ini. Dia mesti meneruskan juga hidup ini.

“ Kamu disahkan mengandung.”

Kata-kata Doktor Kamil itu seperti halilintar yang memancar kuat ke tubuhnya. Dia tidak tahu dimana dia hendak letakkan mukanya. Bagaimana dia akan berhadapan dengan orang kampung. Bagaimana nanti orang bertanyakan siapakah bapa kepada anak itu? Adakah dia akan menjawab ayahnya lah yang menjadi bapa kepada anak itu? Dia mengambil keputusan mendiamkan diri sahaja. Dia juga akan terus mengandungkan anak tersebut sehinggalah anak itu dilahirkan. Anak itu tidak bersalah.

Orang kampung tidak putus-putus menuduhnya ada hubungan dengan Husin, pemuda di kampungnya itu. Tuduhan itu dikatakan semakin berasas selepas Husin meninggalkan kampung tersebut. Salsabila rapat dengan Husin, rakan sekelasnya itu kerana ingin mengulang kaji pelajaran bersama-sama. Mereka berbincang mengenai pelajaran kerana peperiksaan SPM sudah tidak lama lagi. Mereka selalu kelihatan bersama dan kerana itulah mereka di salah anggap oleh orang kampung.

“ Abang, Ilaa harap apa yang akan Ilaa ceritakan kepada abang ini abang dapat menerimanya,” Salsabila mengambil keputusan nekad menceritakan segala nasibnya itu kepada Adam. Biarlah Adam membuat keputusan samada ingin menerimanya atau sebaliknya. Bagi Salsabila, Adam lebih berhak untuk tidak menerimanya kerana dia sudah tidak suci lagi.

“ Ilaa, sebenarnya abang sudah tahu semuanya,” kata Adam sambil mengukir senyuman.

“ Bagaimana abang boleh tahu? “ Salsabila begitu terkejut. Bagaimana Adam boleh mengetahui kisah hidupnya sedangkan Adam berada di Kuala Lumpur selama ini.

“ Yusuf yang beritahu abang. Abang kesal dengan sikap ayah Ilaa. Tapi Ilaa janga risau, abang tetap menyayangi Ilaa.”

Salsabila tidak tahu apa yang patut diucapnya pada waktu itu. Doanya selama ini dimakbulkan Tuhan. Wajahnya kembali ceria. Dia tersenyum menampakkan lesung pipitnya. Peristiwa pahit yang dialaminya itu seakan sudah hilang dari ingatannya. Dia bersyukur kerana Adam begitu memahaminya.

“ Abang tinggal serumah dengan Yusuf dan adiknya Yunus,” ujar Adam jujur. Yusuf dan adiknya tinggal dengan Adam selepas setahun Adam berada di Kuala Lumpur.

“ Ilaa, sebenarnya…. abang….abang ada sesuatu yang ingin abang cakapkan,” kata-kata Adam tersekat-sekat dan mukanyanya begitu pucat sekali apabila ingin meluahkan kata-kata itu.

“ Sebenarnya abang hendak melamar Ilaa sebagai teman hidup abang,” akhirnya dapat juga Adam meluahkan kata-kata suci itu, walaupun seperti hendak mengeluarkan emas daripada mulutnya.

“ Minggu depan kita balik kampung dan kemudian abang suruh keluarga abang menghantar rombongan meminang ke rumah Ilaa,” ujar Adam ikhlas sambil tangannya menggenggam erat tangan Salsabila.

Sesudah menunaikan solat Zohor, Adam merehatkan tubuhnya di atas sofa sambil tangannya memicit butang remote control untuk mencari siaran televisyen yang sesuai. Sudah lama dia tidak pulang ke kampung halamannya itu. Terasa rindu benar dia kepada suasana yang begitu nyaman di situ. Berbeza benar dengan suasana di Kuala Lumpur.

Adam cuba mencari sesuatu yang dapat di bacanya di bawah meja kopi di hadapannya. Dia mencapai sebuah novel hasil karangan Faisal Tehrani yang amat disanjunginya itu. Diselak-selak halaman novel itu. Tiba-tiba terjatuh sekeping gambar lama di atas kakinya. Adam mengambil gambar tersebut dan mengamatinya betul-betul. Dahinya mula berkerut. Dia terlihat gambar dia semasa kecil. Turut berada di gambar tersebut emaknya, seoarang lelaki dan dua orang budak perempuan kecil. Adam tertanya-tanya mengapa dia tidak pernah melihat gambar itu sebelum ini. Kotak fikirannya bersarang segala persoalan selepas melihat gambar itu.

“ Emak, siapa orang lelaki dan dua orang budak perempuan di dalam gambar ini, mak?” Adam bertanya inginkan kepastian. Emaknya tiba-tiba menundukkan wajahnya dan seakan-akan ingin menyorokkan wajahnya dari terus dilihat anaknya itu. Wajah emaknya seakan-akan menyimpan suatu rahsia yang selama ini tidak diketahuinya.

“ Sebenarnya sudah lama emak ingin beritahu kamu perkara ini, tapi mak tidak tahu bilakah waktu yang sesuai untuk beritahu kamu,” kata emaknya lemah. Dia seperti teragak-agak untuk mengatakan perkara itu.

“ Orang lelaki di dalam gambar itu ialah bapa kandung kamu, Pak Leman dan dua orang budak perempuan itu ialah adik kamu, Salsabila dan Akma.”

Terasa begitu lemah sekali tubuh Adam pada waktu itu. Dia merasakan dunia ini tiba-tiba gelap gelita. Kepalanya terasa seperti berpusing-pusing. Dia memikirkan bagaimana keadaan dia dan Salsabila selepas ini. Bagaimana cintanya dengan Salsabila selama ini? Adakah dia bercinta dengan adik kandungnya selama ini?

“ Maksud mak Salsabila anak Pak Leman tu adik Adam?”

“ Ya nak. Tapi…….”

Belum sempat emaknya mengakhiri kata-katanya, Adam sudah berlari meninggalkan emaknya terpinga-pinga. Emaknya cuba memanggil Adam tetapi dirasakan biarlah Adam redakan perasaannya terlebih dahulu. Rajuk Adam bukanlah lama. Emaknya diceraikan oleh Pak Leman ketika Adam berumur empat tahun. Pak Lokman yang Adam anggap bapanya selama ini adalah bapa tirinya. Emaknya berkahwin dengan Pak Lokman selepas lima tahun emaknya diceraikan Pak Leman.

Adam tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Hatinya begitu terbakar pada waktu itu. Dia begitu cintakan Salsabila. Bagaimana dia dapat menempuh hari muka tanpa Salsabila. Dia berasa kesal mengapa emaknya tidak memberitahu perkara sebenar ini kepadanya dahulu. Fikiranya buntu memikirkan perkara tersebut. Langkahnya lemah menyusur tepian pantai di belakang rumahnya. Direnungnya ke hadapan dan tiba-tiba dia ternampak kelibat seseorang berada lima puluh meter dihadapannya sedang duduk di pondok usang milik nelayan di situ. Dia kenal orang itu. Dia mengatur langkah cuba mengahampiri orang itu.

“ Ilaa buat apa di sini? Mata Ilaa merah. Ilaa menangis?”

Salsabila hanya diam. Tangisannya semakin kuat apabila ternampak Adam. Dia cuba mengawal perasaannya agar tidak nampak seperti apa-apa yang berlaku.

“ Ilaa sebenarnya anak angkat, bang. Mak dan bapa kandung Ilaa sudah meninggal dunia, Ilaa anak angkat,” Salsabila tidak dapat menahan perasaannya lagi. Air matanya dikesat dengan hujung lengan baju kurungnya. Lantas dia mendapatkan Adam dan memeluknya erat. Dia merasakan dengan berbuat demikian perasaan sedihnya dapat dikurangkan.

Salsabila tidak tahu mengapa nasib buruk berlumba-lumba hinggap ke bahunya. Terasa begitu berat beban yang perlu ditanggungnya. Baru sahaja dia mendapat sinar kerana orang kampung sudah mula menerimanya, tiba-tiba datang pula masalah baru. Bagai jatuh ditimpa tangga. Tok Penghulu sudah mengetahui perkara sebenar dan cuba menerangkannya kepada seluruh penduduk kampung. Ayah juga sudah menyesali perbuatan terkutuknya itu. Ayah juga sudah mengaku bahawa dialah yang membuang bayi tersebut. Sebenarnya Salsabila sudah memaafkan ayahnya dari dulu lagi. Tiada lagi tempat untuk dia mengadu nasib selain ayahnya. Pun begitu dia merasakan ayahnya tidak patut dimaafkan selepas mendengar dari ayahnya bahawa dia hanyalah anak angkat. Emak dan bapa kandungnya meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa dia berusia dua bulan. Pak Leman mengambilnya dari nenek Salsabila.

Dia cuba memandang wajah Adam meminta simpati. Dia hairan kerana Adam tidak sedikitpun menunjukkan rasa simpatinya malah Adam hanya mengukir senyuman kepadanya.

“ Jadi Ilaa ni adik angkat abang?”

Berkerut dahi Salsabila. Dia tidak faham apa yang Adam katakan. Perasaannya bertambah keliru dengan sikap Adam. Adam yang melihat keadaan Salsabila yang terpinga-pinga cuba menerangkan perkara sebenar. Petang itu terasa begitu indah sekali. Desiran ombak dan lambaian pepohon ru seperti merestui perhubungan mereka.

“ Yusuf cepatlah sikit. Dah siapkah belum?”

Aku segera membetulkan sampingku. Walaupun hanya jadi pengapit tetapi aku merasakan perlu juga berpakaian kemas. Langkahku pantas ke ruang tamu. Kelihatan disitu Adam yang berpakaian warna hijau epal bersamping serta terselit sebilah keris di pinggangnya. Bergaya sungguh Adam pagi itu. Seluruh ahli keluarga Adam sudah siap sedia dengan rombongan untuk ke rumah pengantin perempuan sambil masing-masing memegang hantaran yang ingin dibawa ke sana.

No comments:

Post a Comment