Di dalam blog ini saya akan berkongsi koleksi ART saya dan apa-apa sahaja mengenai HOBBY saya dengan anda semua yang mempunyai minat yang sama seperti saya....sila klik link di LABELS untuk melihat lebih banyak koleksi ART & HOBBY saya...join lah blog ini dan kita sama-sama berkongsi mengenai ART & HOBBY. :-)

Saturday, January 09, 2010

Cerpen - Cempaka Putih

Cempaka Putih

Pagi cerah, indah. Angin sederhana bertiup sayu. Awan berambal-ambalan di dada langit. Tangannya didepangkan sambil kepalanya mendongak ke langit. Dipejamkan matanya kemudian dia menghirup sepuas-puasnya udara segar di situ. Sudah lama dia tidak menikmati suasana begini. Baru dia sedar betapa besarnya rahmat Allah kepada hambanya selama ini. Tidak terkira banyaknya.

Itulah rutin harian Andak setelah sebulan lebih dia pulang ke kampungnya semula. Sudah puas dia hidup di kota dengan segala tipu daya dan fatamorgana. Sudah puas dia menatap wajah-wajah penghuni di situ yang sentiasa mengejar harta dan kehidupan. Sentiasa sibuk menagih kekayaan sehingga lupa ada perkara yang lebih penting daripada itu. Semua tempat, semua lorong dan semua lubuk telah dilewatinya. Sebut sahaja tempatnya dimana semua Andak boleh tunjukkan, Andak boleh bawakan.

“ Bang….bang….mak…sakit,bang.”

“ Mak ada di mana sekarang?”

Ada di rumah. Cepat bang, baliklah bang.”

“ Kenapa tak dibawa ke hospital?”

“ Dah puas kami memujuknya. Tapi…”

“ Baiklah abang balik sekarang. Jaga mak baik-baik,” pantas gagang telefon itu kempali ke tempatnya selepas Andak habis bercakap. Dia tidak mahu buang masa lagi. Segera dia bersiap untuk pulng ke kampung.

Emak memang begitu. Liat sangat nak pergi hospital. Takut kena cucuk katanya. Sejak akhir-akhir ini kerap juga adiknya, Melati menelefonnya agar dia balik sebab emak sakit. Melati dan adik bongsunya, Dang Wangi yang menjaga emak selama dia tiada di rumah untuk bekerja. Andak terpaksa keluar ke kota kerana ingin mendapatkan pendapatan yang lebih memandangkan keluarganya amat memerlukan.

Baharu semalam dia bermimpi emaknya jatuh sakit, hari ini mimpi itu jadi kenyataan. Emaknya sudah lama menderita penyakit jantung. Sudah puas emaknya dibawa ke merata tempat untuk berubat tetapi kuasa Allah tiada siapa yang dapat tandingi. Pawang Harun, Bomoh Hitam, Dukun Raja Ali, semuanya sudah pernah merawat emak. Penyakit emak macam itu juga. Dukun Raja Ali kata emak kena sampuk bunian, Bomoh Hitam kata emak ada amalkan ilmu hitam dan Pawang Harun pula kata emak ada saka. Andak tidak percaya semua itu.

Tak mungkin emaknya ada amalkan ilmu hitam dan tak mungkin emaknya ada membela saka. Kerana itu Andak lebih senang membawa emaknya ke hospital. Doktor tak ada pula mengatakan emaknya kena sampuk bunian, bela saka atau emak ada amalkan ilmu hitam. Doktor kata emak kena serangan jantung. Makan ubat legalah penyakit emak. Andak lebih percayakan doktor daripada perubatan altenatif seperti bomoh, pawang dan dukun. Semua itu penipu. Semuanya nakkan duit. Kekadang bayaran yang diminta sampai tidak logik akal dan melebihi kos untuk perubatan emak di hospital.

Andak meneruskan kerjanya semula menguruskan kebun pisang milik arwah ayahnya. Sejak Andak pulang ke kampung keadaan emak semakin pulih. Emak sudah boleh membuat kerja-kerja harian. Wajah emak semakin ceria setelah Andak bercadang untuk terus tinggal di kampung kerana ingin menjaga emak. Andak sebenarnya sudah lama bercadang untuk menetap di kampungnya semula. Dia sudah muak dengan kerenah penghuni kota. Dia sudah puas menikmati kehidupan di kota metropolitan itu. Semua tipu helah di situ bagaikan berada di dalam poketnya.

Andak melabuhkan punggungnya di bawah pokok pisang abu. Agak kekok dia melakukan kerja di situ kerana sebelum ini dia tidak pernah ke kebun pisang milik ayahnya itu. Sebelum dia berhijrah ke kota, dia pernah bekerja di bengkel motosikal milik kawannya. Jadi dia tiada masa untuk ke kebun ayahnya. Lagipun ayahnya ada pada masa itu dan ayahnya mengatakan dia boleh menguruskan sendirian.

“ Assalamua’laikum.”

“ Waa’laikumussalam,” ujar Andak seraya melepaskan senyumannya ke arah adiknya Dang Wangi.

“ Wangi ada bawakan makanan tengahari untuk abang. Abang makanlah,” kata Dang Wangi yang sentiasa terukir senyuman di wajahnya sambil menghulurkan mangkuk tingkat yang berisi makanan.

“ Lauk apa hari ni Wangi bawa?,” Andak saja bertanya soalan itu kepada adiknya.

“ Biasa saja. Lauk kegemaran abang. Abang makanlah Wangi balik dulu ada kerja nak buat.”

“ Eemmm…,” hanya itu yang keluar dari mulut Andak kerana dia sudah menyuapkan nasi ke mulut.

Dang Wangi berlalu pergi meninggalkannya. Andak terus menyuapkan nasi ke mulut. Dia tidak dapat bertahan lagi apatah lagi lauk kegemaranya rebung masak lemak cili api berada di hadapannya. Bagi Andak jika lauk lain tiada pun tak apa asalkan lauk kegemarannya itu ada. Tengah khusyuk Andak menikmati makanan, tiba-tiba bagaikan bunyi helikopter berserta angin kencang menyergah di hadapannya. Andak berteleku sebentar. Semua pokok pisang di sekelilingnya turut bergoyang merasai kehadiran angin kencang itu.

Dia cuba memandang ke arah langit dan mencari punca angin itu. Tiba-tiba matanya terpaku pada satu objek yang begitu asing baginya. Benda itu turun dan seperti pergi ke arahnya. Andak hanya dapat melopong melihat benda itu turun di hadapannya. Dia menyudahkan suapan terakhirnya. Bagaikan mimpi dan seperti cerita dongeng pula Andak rasakan. Tiga makhluk aneh itu terpacak dihadapannya. Masing-masing mempunyai sepasang sayap berwarna biru keunguan dan memakai pakaian yang cukup cantik bersalut emas. Tubuh mereka seperti manusia tetapi yang Andak keliru mereka mempunyai sepasang sayap. Seorang yang berada di tengah gayanya agak terserlah mungkin dia adalah ketua antara mereka. Wajah mereka amat cantik dan bercahaya.

Mata Andak tidak berkelip memandang mereka. Dia bingkas bangun dan bersedia dengan apa-apa sahaja kemungkinan. Belum pernah dia melihat perempuan secantik itu. Andak semakin keliru adakah dia berada di dalam mimpi atau alam fantasi. Atau mungkin juga dia telah memasuki alam bunian. Andak ada juga terdengar daripada mulut orang kampung, semua penghuni alam bunian cantik-cantik belaka. Pelbagai persoalan bersarang di kotak fikirannya. Andak cuba mencubit pipinya kalau-kalau dia hanya bermimpi. Tetapi setelah berkali-kali dia mencubit pipinya ternyata dia bukan bermimpi. Terasa sakit pipinya.

“ Assalamua’laikum. Nama kamu Andak bukan? Saya PD 5421, yang itu PX 7659 dan di tengah itu Puteri Putih,” berkata yang seorang yang berada di kanan sambil memperkenalkan dirinya serta rakan-rakannya.

“ Waa’laikumussalam. Ka…kamu siapa? Ba…bagaimana kamu tahu nama saya?,” tergagap-gagap Andak apabila makhluk aneh itu mendekatinya. Dia semakin takut dengan apa yang berada di hadapannya.

“ Kami dari tahun 3030. kami tinggal di sana. Kamu jangan takut. Kami adalah manusia seperti kamu juga,” berkata pula seorang yang berada di kiri bernama Mawar sambil ibu jarinya menunjuk ke arah langit.

Kata-katanya cukup sopan dan lemah-lembut. Perasaan takut Andak sudah semakin hilang dan kini perasaannya berbaur keliru pula. Bagaimana manusia boleh tinggal di langit? Bagaimana mereka boleh datang dari tahun 3030? Dan yang paling Andak keliru bagaimana mereka boleh tahu namanya. Andak semakin asyik memandang perempuan yang bernama Puteri Putih itu. Wajahnya lebih ayu berbanding yang lain. Tetapi sedari tadi perempuan itu tidak pernah bersuara.

“ Kami datang ada hajat. Raja Shah Merah berbesar hati ingin mengahwinkan awak dengan puterinya iaitu Puteri Putih,” berkata PD 5421 seraya menunjuk kea rah Puteri Putih yang hanya tersenyum dari tadi.

“ Apa yang kamu cakapkan ni? Saya tak fahamlah. Kamu kata kamu manusia tapi ada sayap. Kamu kata kamu tinggal di langit. Mana ada manusia tinggal di langit. Saya tak kenal kamu, tiba-tiba kamu datang nak kahwinkan saya dengan Puteri Putih. Siapa pula Raja Shah Merah? Apa semua ni? Saya tak fahamlah,” pelbagai soalan bertubi-tubi diluahkannya sambil memegang kepalanya. Perasaan kelirunya semakin bertambah-tambah dengan kata-kata dari PD 5421 itu tadi.

“ Raja Shah Merah adalah ayahanda kepada Puteri Putih. Baginda adalah satu-satunya raja yang ada di atas sana. Keadaan negara kami semakin darurat kerana negara kami sedang berperang. Jadi Raja Shah Merah ingin mengahwinkan anakandanya itu dengan awak kerana ingin menyambungkan zuriat,” berkata pula PX 7659. kata-katanya begitu petah sekali seperti seorang pemidato.

“ Sambungkan zuriat? Kenapa tidak berkahwin dengan manusia di atas sana? Kenapa pilih saya?”

“ Hanya Puteri Putih adalah waris Raja Shah Merah yang benar-benar manusia.”

“ Benar-benar manusia? Maksud kamu, kamu ini bukan manusia? Apa yang kamu cakapkan ni? Saya… saya..,”

Belum sahaja Andak menghabiskan kata-katanya, PX 7659 mengambil sebilah pisau lalu membelah lengannya menggunakan pisau itu. Kemudian dia membuka kulit lengannya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Wajahnya hanya bersahaja. Kelihatan wayar pelbagai warna berselirat di bawah kulit lengannya itu. Andak menjadi takut dengan perbuatan PX 7659 itu tadi. Mereka ini robot atau manusia?

“ Kami adalah cyborg. Asalnya kami adalah manusia tetapi kami telah dibaik pulih dengan sebahagian tubuh badan kami terdiri daripada mesin. Negara kami berperang sejak 300 tahun yang lalu. Jadi sesiapa yang cedera atau terkorban di medan perang akan di baik pulih dengan menyambungkan tubuh badan yang ‘hilang’ menggunakan mesin.

Sesiapa yang telah dibaik pulih akan diberi dengan nama baru seperti nombor siri saya PX 7659. Kami tetap manusia biasa kerana kami juga mempunyai perasaan, keinginan dan deria seperti kamu.”

“ Tapi kenapa saya yang terpilih. Saya tak kenal kamu sebelum ni.”

“ Sebenarnya Raja Shah Merah amat terhutang budi dengan datuk kamu, Awang. Jadi dia berhajat ingin mengahwinkan puterinya sebagai tanda terima kasihnya kepada keluarga kamu.”

“ Datuk saya? Kenapa dengan datuk saya?”

“ Semasa negara kami berperang dahulu, negara kami keputusan bekalan makanan. Datuk kamu telah memberi bantuan bekalan beras selama lima tahun kepada kami. Perhubungan datuk kamu dengan Raja Shah Merah amat akrab pada waktu itu. Nama datuk kamu juga begitu terkenal di dalam kerajaan kami sehinggakan datuk kamu digelar perwira oleh penduduk di atas sana pada waktu itu.

Perhubungan yang akrab itu membuatkan Raja Shah Merah bernazar akan mengahwinkan puterinya dengan kamu.”

“ Tapi saya masih tak faham bagaimana kamu dari tahun 3030 boleh dating ke tahun ini. Bukankah perkara ini seperti fiksyen sains?” Andak mengajukan soalan lagi untuk mendapatkan kepastian sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Dia pernah menonton rancangan di televisyen yang mengisahkan manusia dari abad akan datang pergi ke zaman silam. Tetapi itu semua adalah dongen sains dan tidak dapat diterima akal. Para saintis berusaha keras untuk mengkaji lohong hitam yang dikatakan dapat meneroboskan manusia ke demensi yang lain dengan kata lainnya manusia dapat pergi ke abad yang akan datang atau pergi abad yang lepas. Tetapi teori itu belum dapat dibuktikan secara teknikal lagi.

“ Tiada apa yang mustahil pada abad ke-30. Manusia hidup serba canggih dengan pelbagai teknologi yang kadangkala tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Sayap yang kami pakai ini adalah ‘kenderaan’ yang dapat membawa kami ke tahun yang kami hendak tuju. Sebenarnya terdapat pelbagai lagi teknologi yang lebih aneh daripada ini. Pelbagai teknologi yang baik dan tidak kurang juga yang memudaratkan dihasilkan oleh manusia tanpa batasan.

Etika sains sudah tidak dipatuhi dan itulah yang menyebabkan peperangan tercetus kerana semua manusia amat menagihkan status dan kekayaan. Manusia hidup saling bermusuhan dan kemudahan teknologi yang ada dieksploitasi mengikut hawa nafsu manusia.”

Andak mengangguk kecil tanda faham dengan kata-kata PD 5421 itu. Andak menundukkan mukanya ke tanah seperti memikirkan sesuatu. Lama dia berbuat begitu sehingga membuatkan tiga manusia bersayap itu gelisah menunggu kata-kata daripada Andak. Tak lama kemudian dia mengangkat perlahan-lahan mukanya. Dia memandang ke arah PD 5421 kemudian beralih ke PX 7659 dan akhir sekali pandangannya beralih ke Puteri Putih. Puteri Putih tunduk malu.

“ Baiklah, tapi saya kena….”

“ Bang, bang, bangun bang. Kenapa abang tidur di sini? Kalau penat sangat tidurlah di rumah. Jom kita balik.”

“ Abang di mana sekarang ni? Abang…”

“ Abang tertidur tadi. Itulah kerja sampai tertidur pun tak sedar,” ujar adiknya, Melati sambil tersenyum melihat gelagat abangnya yang tertidur di bawah pokok pisang. Selalunya abangnya tidak pernah begitu, tetapi hari ini mungkin abangnya terlalu penat bekerja.

Andak bangun sambil adiknya mengemas mangkuk tingkat yang masih mengandungi makanan yang Andak makan tadi. Andak menggaru-garu kepalanya kerana memikirkan mimpinya tadi. Dia dapat merasakan mimpinya tadi seperti benar-benar berlaku. Andak terasa seperti ada sesuatu pada genggaman tangannya. Dia membuka perlahan-lahan kelima-lima anak jari tangan kanannya. Andak terkejut mendapati sebentuk loket berada di tangannya sekarang. Bagaimana loket itu berada di tangannya. Fikiran Andak buntu memikirkan perkara tersebut.

Loket yang diperbuat daripada emas itu sangat cantik dan seolah-olah bersinar. Andak cuba mengamati betul-betul tulisan yang terdapat pada loket yang berbentuk pentagon itu. PUTERI PUTIH 3030. Itulah tulisan yang tertera pada muka hadapan loket emas itu. Andak bertambah terkejut. Fikirannya bertambah serabut dengan pelbagai persoalan bertubi-tubi diterjunkan ke kotak fikirannya. Apa? Bagaimana? Siapa? Kenapa? Itulah persoalan yang menjadikan Andak bertambah keliru.

Esoknya Andak seperti biasa pergi ke kebun milik bapanya itu. Sebelum memulakan pergi emaknya memberitahu ada orang dari kampung seberang ingin datang meminangnya minggu depan. Andak tergelak kecil memikirkan hal tersebut. Sekarang ini sebelah perempuan pula datang meminang. Kalau dulu ada orang perempuan seperti itu, maka akan terdengarlah dari mulut-mulut orang kampong,” Tu perigi cari timbalah tu.”

Andak hanya bersetuju dengan kata-kata emaknya. Pilihan emak pilihannya juga. Andak tidak berapa ambil kisah mengenai soal jodoh. Asalkan baik dan menghormati orang tua dia terima sahaja. Lagipun dia tidak tergamak melukakan hati emaknya yang sudah lama mengidamkan menantu dan ingin menimang cucu. Sebelum emaknya meninggalkannya buat selama-lamanya, biarlah dia melihat secebis senyuman dari emaknya ketika menimang cucu.

“ Saya rasa awak pun dah tahu hajat kami datang ke sini. Jadi saya rasa kita bincangkanlah bila nak dilangsungkannya.”

“ Sebelum tu, biarlah saya lihat dahulu siapa bakal menantu saya. Siapa namanya.”

“ Oh… luapa pula saya. Saya perkenalkan ini anak saya Cempaka. Cempaka Putih.”

“ Putih!” tersentak Andak mendengar nama itu. dia kenal dengan nama itu. kenal sangat-sangat.

Andak cuba memandang ke arah empunya nama tersebut. Puteri Putih. Itulah perkataan yang terkeluar daripada mulutnya. Berkerut kening Andak melihat wajah Cempaka yang tersenyum ke arahnya apabila Andak curi-curi memandangnya. Andak cuba mencari jawapan mengenai persoalan yang berada di kepalanya. Tiada jalan yang berjaya ditemuinya kecuali jalan mati.

Kedua-dua belah pihak bersetuju mengenai tarikh yang akan berlangsungnya perkahwinan antara Andak dan Cempaka. Pihak dari sebelah Cempaka minta diri untuk beredar kerana ada hal penting. Andak bangun dan terus meluru ke arah mereka. Dicapainya tangan Cempaka dan Andak menariknya ke belakang rumah. Cempaka hanya menurut sahaja.

“ Siapa awak sebenarnya? cakap cepat!” Andak bertanya hendakkan penjelasan.

“ Nama saya Cempaka Putih,” jawab Cempaka selamba.

“ Awak Puteri Putih kan. Baik awak cakap betul-betul.”

Cempaka hanya tersenyum. Angguk pun tidak, geleng pun tidak. Dia mahu melihat apa reaksi Andak selepas ini. Cempaka menolehkan badannya ke arah Andak. Dia menunjukkan loket emas yang dipakai pada lehernya. Pada muka loket itu tertera tulisan: PUTERA ANDAK 2000.

“ A… awak…”

“ Syuuuuu…..,” Cempaka meletakkan jari telunjuknya pada mulut Andak sebelum Andak meneruskan kata-katanya.

“ Saya tahu awak setuju dengan lamaran saya. Sebab itu saya telah membuat loket yang tertera nama kita berdua. Loket yang berada pada awak itu, awak simpanlah baik-baik. Loket yang tertera nama awak ni saya pakai.”

“ Jadi betullah awak Puteri Putih.”

No comments:

Post a Comment