Di dalam blog ini saya akan berkongsi koleksi ART saya dan apa-apa sahaja mengenai HOBBY saya dengan anda semua yang mempunyai minat yang sama seperti saya....sila klik link di LABELS untuk melihat lebih banyak koleksi ART & HOBBY saya...join lah blog ini dan kita sama-sama berkongsi mengenai ART & HOBBY. :-)

Saturday, January 09, 2010

Cerpen - Bangsi Kesumba Atan

Bangsi Kesumba Atan

Pawana bertiup kemalu-maluan. Lensa matanya terbang jauh menjijak gerak-gerayu bebatang pohon nyiur berliuk-lintuk dipukul bayu. Melahunya di sepanjang bibir pantai. Bebatu di tepian pantai yang tersusun cantik bak dicanai oleh pandai ukir batu menambah seri. Di tangannya tergenggam erat bangsi pusaka yang diperbuat daripada kayu cengal yang asalnya berwarna kuning keperangan tetapi kini dikemaskan dengan wona merah tua. Maka tidak kekoklah sekiranya bangsinya itu dipanggil Bangsi Kesumba. Sayang sungguh dia kepada bangsi itu. Ke mana-mana sahaja dia pergi pasti tidak dilupakan bangsinya itu.

Amarah emaknya masih belum lagi reda. Tadi emak Atan memarahinya kerana pulang lewat ke rumah. Wajah emaknya apabila marah tidah ugah persis harimau betina. Seperti kebiasaan apabila emak memarahi Atan, dia hanya menunduk terpaku ke lantai. Malas dia hendak melayan leteran emaknya itu. Balik-balik itu juga yang dileterkan oleh emaknya. Terkadang dia berasa meleng juga dengan perangai emaknya itu sehingga menjadi buah mulut orang kampung.

Dedaun pintu kamarnya dikuak perlahan dengan malasnya. Badannya terasa letih seharian melahu di sepanjang pantai. Tubuh badannya lantas dibiarkan tertelut di atas kerusi malas peninggalan arwah datuknya. Di atas kerusi itulah dia banyak menemui ilham yang datang berlumba-lumba ke kotak fikirannya. Ilham bait-bait lagu yang akan didendangkannya bersama bangsi kesayangannya itu. Atan memang hebat mengalunkan bangsinya itu. Semua itu datuknya yang ajarkan. Apabila bangsi itu bertemu bibirnya maka gemersiklah alunan yang memecah keheningan kampungnya. Terdengar sahaja alunan bangsi yang dimainkan oleh Atan, bukan sahaja orang seni, orang yang buta seni juga turut melongo mendengarnya.

Nafasnya dihela panjang setelah dua minit memainkan bangsinya itu. Bangsinya itu diletakkan di atas meja usang. Tuntas matanya menumpu ke arah tabung yang diperbuat daripada buluh yang tergantung pada tiang. Sudah lama tabung itu tidak disuapkan makanan. Asyik memuntahkannya sahaja. Dicapainya tabung itu yang berada hanya di sisinya. Tabung itu digoncang berkali-kali. Ringan. Mungkin dua tiga ringgit sahaja yang tersisa. Itupun kalau bernasib baik. Masih tak cukup. Buku itu mahal. Bagaimana aku hendak mencari bakinya? Banyak lagi yang tidak cukup. Bisik hati kecilnya.

“ Mak, Atan nak pinjam duit.”

Emaknya tidak mempercapak kata-katanya. “ Mak, mak bolehlah mak. Atan nak beli buku tu.”

“ Buku apa?”

“ Bu..bu..buku….”

“ Buku apa?” tengking emaknya dengan muka merah menyala.

Atan terus berlari ke atas rumah. Dia tidak boleh beritahu emaknya yang dia hendak membeli buku itu. Buku yang berjudul Irama Serunai. Buku yang sudah lama diidamkannya. Dia sudah masak dengan fi’il emak yang tidak gemarkan muzik kerana sejarah hitamnya dahulu. Ruwet fikiran Atan memikirkan cara untuk mendapatkan duit sebanyak itu. Seperti ada batu yang memborgol di atas jemala kepalanya. Selalunya amat senang ide-ide bernas datang menerjah masuk ke kotak fikirannya tanpa diundang. Tetapi hari ini lain pula halnya. Atan segera masuk ke biliknya semula. Segera dicapainya diari usang milik arwah datuknya yang terletak di atas almari bajunya. Sudah berhabuk. Lama sudah Atan tidak membeleknya. Habuk ditiup dan disapunya kulit diari itu yang sudah seabad lebih usianya. Helaian demi helaian diselaknya seperti mencari sesuatu.

Buntu aku memikirkan hal itu. emak yang sudah tenat perlukan penawar. Terpaksa juga redap milik arwah ayah aku gadaikan. Walaupun aku keberatan, tetapi apakan daya, emak lebih memerlukan. Emak….

Atan tersedar. Seolah-olah ada persamaan kisah hidupnya dengan kisah hidup arwah datuknya. Mengapa dia tidak memikirkan untuk mencari duit sendiri? Atan sedar keluarganya susah seperti juga arwah datuknya. Atan nekad mencari pekerjaan untuk mencari duit yang masih berbaki. Dikucupnya diari milik arwah datuknya itu berkali-kali. Kucupan terakhir dibiarkan lama. Pelbagai perasaan berbaur di sudut hatinya.

“ PIhak sekolah akan mengadakan pertandingan mendeklamasikan puisi sempena menyambut Hari Kemerdekaan pada tahun ini. Peserta boleh terdiri daripada individu atau berkumpulan. Segala kekreatifan peserta semasa membuat persembahan juga diambil kira. Sesiapa yang hendak menyertainya bolehlah membuat pendaftaran pada Cikgu Wahidah,” ujar Cikgu Jamaliah panjang lebar mengumumkan pertandingan itu.

Loceng menandakan waktu pulang sedang galak meraung. Para pelajar mengemas barang bersiap sedia untuk pulang ke rumah masing-masing. Atan bersama empat sahabatnya masih menunggu. Ada agenda yang ingin dibincangkan mereka. Semua pelajar sudah pergi meninggalkan mereka. Tiada lagi suara riuh gempita yang kedengaran.

“ Kita mesti masuk pertandingan tu.”

“ Sudah tiga tahun berturut-turut kita menjadi juara. Jadi aku nak kita berlima mesti sertai pertandingan ini dan menang,” sambung Atan lagi yang bertindak seperti ketua yang tak pernah dilantik.

“ Tapi kita mesti buat kelainan berbanding tahun-tahun yang lepas. Kalau tak orang bosan mendengar kita berpuisi.”

“ Betul kata Andak. Kau Alang, Aki ada tak ide nak buat kelainan,” bertanya Adi kepada Alang dan Aki kerana kekadang ide mereka boleh juga dipakai pada saat-saat genting seperti itu.

Mereka semua terdiam seketika memikirkan sesuatu. Seperti orang bermeditasi lagak mereka. Batu yang tumpul di kepala mereka dikilir agar tajam dan bersinar. Adi dan Alang yang sedari tadi hanya berdiri melungguh di atas kerusi plastik.

“ Aku ada ide.”

Atan mengeluarkan bangsi dari dalam begnya. Ditunjukkan kepada sahabatnya. Terkesima sahabatnya memikirkan apakah kaitan ide itu dengan bangsi Atan. Semuanya menunggu dengan sabar ide yang ingin dilontarkan oleh Atan. Kelihatan seperti menarik.

“ Kita akan baca puisi dengan alunan bangsi ni,” berkata Atan selamba.

“ Serunailah,” Andak cuba memperbetulkan kata-kata Atan.

“ Bangsi tu bahasa lama. Arwah datuk aku dulu pun panggil ni bangsi. Aku dah biasa memanggilnya bangsi,” terang Atan kepada sahabatnya lain.

“ Beginilah. Esok di bawah pokok berangan belakang rumah Pak Umar kita akan bincangkan perkara ini,” sambung Atan lagi. Sahabatnya yang lain tersenyum bersetuju dengan cadangan dari Atan itu.

Pulang dari sekolah sahaja Atan terus memeram diri di dalam bilik. Sesudah menunaikan solat Zohor, dia mengalunkan bangsinya. Dia cuba menggubah sebuah lagu yang sesuai dengan puisi yang akan dideklamasikan oleh kumpulannya nanti. Sejam lamanya dia menggubah masih belum sesuai. Atan berhenti bermain bangsi. Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi dan mencapai buku yang terdapat di atas meja tulisnya. Dia tidak boleh melupakan pelajarannya. Sesibuk manapun Atan dengan bangsinya, namun pelajarannya tidak pernah terabai. Tahun ini dia akan mengambil UPSR. Peperiksaan yang penting baginya kerana dia bercitakan untuk tinggal di asrama penuh.

Pertemuan di bawah pohon berangan berlangsung seperti yang dirancang. Masing-masing tidak dapat menahan gelodak di jiwa mereka untuk berlatih persembahan yang akan diadakan tiga minggu dari sekarang. Atan, Adi, Aki, Alang dan Andak sudah tidak sabar mengeluarkan ide yang sudah tepu di dalam fikiran mereka hasil semalaman dikerah. Cuaca redup pada pagi sabtu itu seperti memberi restu kepada mereka untuk menyertai pertandingan itu.

“ Kita akan buat kelainan sedikit. Tahun ini kita tidak akan bersajak, tapi kita akan bersyair. Pakaian kita ala-ala pendekar istana kerajaan Melaka. Seperti lima lakmana bersaudara itu. Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu,” kata-kata Atan bersemangat pagi itu. Dia memulakan perbincangan setelah rakannya yang lain hanya menunggu kata-kata darinya.

“ Aku setuju. Datuk aku ada menyimpan rebana dan gong di rumahnya. Aku rasa kita boleh pinjamnya untuk buat persembahan nanti. Tentang pakaian aku rasa kita boleh sewa dari persatuan kebudayaan sekolah kita,” ujar Aki dengan serius. Datuknya pernah menganggotai Persatuan Kebudayaan Melayu sepuluh tahun dahulu.

“ Sekarang masalah kita sudah selesai. Syair yang kita akan bacakan nanti, aku ‘pinjam’ dari atuk aku. Datuk aku dulu banyak menulis syair dan aku rasa mungkin ada syair yang sesuai dengan Hari Kemerdekaan itu nanti,” terang Atan bersungguh sambil rakan-rakannya yang lain mengangguk-angguk tanda setuju dengan pendapat Atan itu. Mereka jarang membantah pandangan atau pendapat dari Atan.

“ Bila kita akan mula berlatih?”

“ Aku rasa petang ni. Petang ni aku akan bawa syair tu dan kamu semua bawa peralatan masing-masing.”

Jala yang Atan pinjam dari Pak Syuib pagi tadi dibawanya bersama. Langkahnya menuju ke sungai yang berada tidak berapa jauh dari rumahnya. Emaknya tidak tahu yang dia akan ke sungai. Atan tidak berani memberitahu emaknya bahawa dia hendak menjala ikan di sungai. Sudah pasti emaknya tidak setuju. Dia perlu cepat kerana tadi dia sudah melihat awan hitam sedang berambal-ambalan di dada langit. Kadang-kadang terfikir juga di benaknya, benarkah apa yang dilakukannya ini. Tetapi memandangkan apa yang dihajatinya akan tercapai dengan cara ini, semua ‘godaan’ itu ditepisnya ke tepi.

Jala dilontarkan sebaik sahaja mendapati ada lubuk ikan di situ. Atan tidak kekok melakukan kerja itu kerana sebelum ini dia pernah menemani ayahnya menjala di sungai. Segala selok belok mengenainya bagai berada di dalam kocek seluarnya. Sekali sahaja jala itu ditarik, berpuluh-puluh ikan naik tergedik-gedik tersangkut pada jaringan jala. Senyumannya bertambah lebar. Dia tahu rezekinya murah hari ini.

“ Pak Cik ada kerja lain yang saya boleh buat? Kalau ada beritahu saya, saya nak kerja,” Atan bertanya kepada Pak Syuib selepas mengembalikan jala yang dipinjamnya itu semula.

“ Kalau kau sanggup, Pak Cik ada kawan yang perlukan pembantu di warungnya,”

“ Sanggup. Sanggup Pak Cik. Nanti Pak Cik beritahu kawan Pak Cik tu saya akan bekerja dengannya,” terlonjak kegembiraan Atan apabila dia akan bekerja nanti.

Duit hasil jualan ikan yang dijalanya petang tadi dimasukkan ke dalam tabung buluhnya. Banyak juga yang yang Atan dapat. Dia menjual ikan itu pada Pan Daud. Pak Daud beli kesemuanya. Anak-anaknya balik dari bandar katanya. Atan teringat kembali latihan bersama rakan-rakannya semalam. Syair yang ‘dipinjam’ dari datuknya itu, Andak yang akan bacakan. Suara Andak memang lunak. Semua pelajar sudah sebati dengan kehebatannya. Aki bermain rebana, Alang bermain gong dan Adi akan mempersembahkan seni silat pulut pada persembahan itu nanti. Atan pula semestinya dengan Bangsi Kesumbanya. Semua ahli kumpulan sudah ada peranan masing-masing. Atan sudah tidak sabar-sabar menanti hari pertandingan itu.

Setiap petang Atan akan segera ke warung Mak Bedah untuk bekerja. Atan memberi alasan bermain bersama rakan-rakannya di padang apabila emaknya bertanya ke mana dia pergi. Atan bekerja mencuci pinggan mangkuk dan membersihkan apa-apa yang patut di warung itu. Mak Bedah memang baik dengan Atan. Dia selalu beri upah lebih kepada Atan. Atan pula tidak mahu mengecewakan Mak Bedah. Dia bekerja bersungguh-sungguh.

“ Kita akan bertanding lusa ni. Aku harap kita semua bersedia. Insya Allah, kita akan menang.”

Sudah hampir tiga jam mereka berlatih. Mereka berlatih pada waktu malam di rumah Alang. Angin malam yang menyusup masuk melalui celah-celah jendela menaikkan lagi semangat mereka untuk berlatih. Atan tidak banyak bercakap malam itu. Dia merasakan ada sesuatu perkara buruk yang akan berlaku. Tetapi dia tak cerat. Sejak dia menjejakkan kakinya menuju ke rumah Alang lagi, dia merasa tidak sedap hati. Tetapi dia meneruskan juga perjalanan ke rumah Alang kerana tidak mahu menghampakan rakan-rakannya.

Andak yang sedari tadi bertitar-titar dari tiang kanan ke tiang kiri rumah Alang mula melungguh. Letih agaknya asyik berdiri. Memang tabiat Andak apabila menghafal syair. Dia perlu menghayati setiap bait syair itu agar persembahannya nanti lebih berkesan. Bibirnya asyik menawak sambil matanya dipejamkan. Khusyuk.

Esok, pertandingan itu akan bermula. Duit yang Atan kumpul selama ini untuk membeli buku kesayangannya itu hampir cukup. Selepas Zohor ini, Atan bercadang untuk pergi menjala lagi. Hari ini hari Ahad, jadi bolehlah dia meminjam jala daripada Pak Syuib kerana pada hari ini Pak Syuib tidak pergi menjala. Duit lebih hasil jualan ikan nanti, bolehlah aku beli Jalur Gemilang untuk persembahan esok, dia berkira-kira sendiri.

Perahu usang itu didayungnya perlahan menuju ke lubuk ikan. Walaupun nampak enteng mengendalikan perahu kepunyaan Pak Karim yang berusia lebih setengah abad itu, tetapi orang yang tidak pernah mengendalikannya pasti terbalik perahu itu. Awan yang berarak laju di dada langit sudah bertukar kehitaman, menandakan petanda buruk. Belum sempat jala yang ditebar Atan ditarik semula, hujan sebesar duit dua puluh sen turun membasahi bumi. Semakin lama semakin lebat. Pantas Atan menarik jalanya ke atas. Dia perlu cepat kerana hujan yang semakin lebat akan menimbulkan masalah lain pula nanti.

Dayung digenggamnya erat dan segera didayung perahunya ke gigi air. Tiba-tiba dayung yang digunakannya tersangkut di dalam air. Mungkin ada tunggul kayu yang menyebabkannya tersangkut. Atan cuba menarik sedaya upayanya. Praak! Dayung itu terpatah. Dayung yang sedia usang itu tidak mustahil untuk patah. Perahu sudah dinaiki air hujan. Atan mencedok air itu keluar. Hujan makin lebat. Tidak terdaya air hujan yang semakin tinggi parasnya itu untuk dicedok keluar seorang diri. Bibirnya sentiasa dibasahkan dengan zikir. Pada saat-saat ini apa-apa sahaja kemungkinan boleh terjadi.

Bunyi guruh yang begitu kuat mengejutkan Mak Eton dari tidurnya. Asyik menunggu Atan yang tidak pulang sejak tadi, membuatkan dia terlelap. Jenak sungguh tidurnya kerana letih baru balik dari mencari ubi keledek di kebun Pak Sarip pagi tadi. Mak Eton segera bangun. Ingatannya segera membayangi Atan. Hatinya rusuh dikala ini. Kenapa Atan tidak pulang lagi, sedangkan hujan semakin lebat. Atan tidak pernah berbuat begini sebelum ini. Keluh hatinya.

Hujan semakin reda. Awan putih sudah mula mengambil alih tempat awan yang membawa hujan sebentar tadi. Jam di dinding sudah menunjukkan tepat pukul 6:15 petang. Camar pun sudah pulang ke sarang. Kepala Mak Eton sedari tadi asyik menjengok ke luar jendela, kalau-kalau Atan sudah balik. Tetapi perasaan masyghul masih bersarang di kotak fikirannya. Mak Eton sudah mula memikirkan perkara yang bukan-bukan.

“ Mak Eton, Mak Eton…,” tiba-tiba satu suara dari seorang pemuda di luar rumah menerjah ke gegendang telinga Mak Eton. Pemuda itu tercungap-cungap dan kata-katanya terketar-ketar.

Sambung pemuda itu lagi, “ Atan…Atan..Mak Eton. Atan…..” Pemuda itu tidak dapat meneruskan kata-katanya. Wajah Mak Eton mula berubah. Sekujur jasad kaku yang sudah kebiruan sedang dipangku oleh Pak Syuib. Jasad itu berada dalam keadaan basah, begitu juga Pak Syuib. Mak Eton tertelut ke bumi. Tiada kata yang keluar dari bibir pucatnya. Jantungnya bagai tidak berdenyut. Dia menadah tangan meminta Atan ke pangkuannya.

“ Sabarlah, Eton. Ini semua suratan Ilahi. Allah lebih menyayanginya,” sebak Pak Syuib apabila melihat Mak Eton sedang memangku Atan di ribanya.

Agak lama Mak Eton terdiam. Dia bagaikan tidak dapat menerima tubuh kaku yang berada di pangkuannya sekarang ialah Atan. Air jernih sudah mula bertakung di bawah kelopak matanya. Dia hanya membiarkan air mata itu jatuh membasahi bumi. Wajah Atan diraupnya perlahan. Dibelainya rambut basah Atan berkali-kali. Lembut.

“ Atan….Atan..jangan tingalkan mak, Atan,” begitu sayu suara dari Mak Eton disulami esakan penuh hiba.

“ Atan……..!”

Suasana pertandingan mendeklamasikan puisi pagi itu berbaur gembira dan duka. Gembira kerana Negara Malaysia sudah mencapai kemerdekaan yang ke-49 pada tahun ini. Sedih pula kerana warga sekolah kehilangan seorang pelajar yang begitu cemerlang dan berpotensi. Suasana hiba nampaknya lebih mendominasi acara pentas pada hari itu. Suasana yang sepatutnya diselangi dengan tawa dan tepukan gemuruh bertukar wajah.

“ Pada tahun ini kami masih menyertai pertandingan ini. Walaupun tanpa ‘Abang Tuah’..,” kata-kata dari Andak terhenti apabila matanya semakin berkaca. Perasaan sebak tiba-tiba hinggap di kamar sukmanya. Dia tidak dapat menerima kehilangan Atan yang sudah dianggapnya sebagai saudara kandungnya sendiri.

Aki, Alang, Adi dan Andak masing-masing berpakaian ala-ala laksamana Melaka. Mereka semua mengambil gelaran laksamana Melaka berlima itu sebagai menambahkan lagi lagak mereka seperti pendekar terkenal itu. Andak sebagai Jebat, Aki sebagai Kasturi, Alang sebagai Lekir, Adi sebagai Lekiu dan Atan sebagai Tuah. Walaupun Atan tidak bersama mereka tetapi pakaian yang sepatutnya dipakai Atan pada hari itu diletakkan di atas pentas semasa mereka membuat persembahan. Bangsi kesumba Atan juga tidak dilupakan, diletakkan bersama pakaian itu.

“ Walaupun ‘ Abang Tuah’ tidak bersama kami pada hari ini, tetapi percayalah ‘semangatnya’ masih tetap bersama kami,” Andak meneruskan kata-katanya setelah berjaya mengawal perasaannya.

Andak meneruskan dengan membaca syairnya. Dilihat di sisinya, dimana terletaknya pakaian Atan bersama Bangsi Kesumbanya. Tiba-tiba kelihatan Atan yang sedang berdiri tegak memegang Bangsi Kesumbanya. Atan yang lengkap dengan mastul dikepalanya berserta samping merah disulami benang perak di pinggangnya sedang asyik mengalunkan irama enak hasil tiupan Bangsi Kesumbanya. Andak tersenyum dan semangatnya membuak-buak walaupun air matanya tidak pernah lekang membasahi pipinya.

No comments:

Post a Comment